Sinar Harian : 7 Okt : Si hodoh buntal jadi hiasan unik

SIAPA menyangka, ikan buntal yang pada asalnya kelihatan hodoh dengan badan berduri dan mengembung apabila terasa diancam boleh dijadikan satu hiasan unik.

ikan buntal

Seorang pembuat hiasan ikan buntal, Harun Al-Rashid Abdullah, 58, berkata, hiasan ikan buntal mendapat sambutan kerana ia unik dan jarang diperoleh.

Menurutnya, ikan berkenaan juga semakin sukar untuk ditemui pada masa kini disebabkan oleh pelbagai faktor.

“Jika dulu saya boleh dapat dua atau tiga ekor setiap kali ke laut, tetapi kini dalam sebulan untuk mendapat dua ekor pun susah.

“Namun begitu, saya tetap menyimpannya juga untuk dijadikan hiasan dan apabila ada permintaan saya akan jual,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pinang Besar, Pangkor, di sini.

Harun berkata, dia mempelajari cara membuat hiasan ikan buntal daripada rakannya dan turut berminat untuk melakukannya.

“Pada mulanya saya cuba buat sendiri tapi tak menjadi. Selepas itu saya minta tunjuk ajar rakan dan apabila dicuba berkali-kali barulah jadi dengan baik.

“Proses untuk buat hiasan ikan buntal ini agak rumit memandangkan ikan ini berduri, kita perlu membelah perutnya, menjahit, mengekalkan gelembungnya dan selepas itu mengeringkannya.

“Jika tersalah buat ia tidak akan menjadi memandangkan kini sukar untuk mendapatkan spesies ikan buntal ini,” katanya.

Katanya, harga jualan ikan buntal juga bergantung kepada saiz ikan berkenaan dan ia boleh mencecah sehingga RM300.

“Ada yang berharga RM20 dan ada sehingga RM300, ia bergantung kepada saiz ikan buntal berkenaan.

“Ikan buntal juga terdapat pelbagai jenis, ada yang dipanggil ikan buntal landak dan ikan buntal jenis ini adalah yang paling cantik,” katanya kepada Sinar Harian.

Malah katanya, pembuatan hiasan ikan buntal kini berdepan masalah kekurangan spesies ikan berkenaan menyebabkan ia sukar untuk dikomersialkan secara meluas.

“Hiasan ini memang mendapat sambutan namun disebabkan masalah kekurangan ikan ini menyebabkan saya hanya membuatnya ketika ikan ada sahaja.

“Jika spesies ikan ini terus berkurangan dan sukar untuk diperoleh kemungkinan ia tidak dapat lagi dijadikan hiasan amat tinggi,” katanya.

sumber : Sinar Harian Edisi Perak

Print   Email