• Utama
  • Icon Media
  • Bantuan W3C

Sinar Harian : 1 Jan : Beku sementara lesen ternak ayam

SERI MANJUNG - Pejabat Daerah dan Tanah Manjung akan membekukan sementara permohonan lesen penternakan ayam bagi menyelaraskan penternak sedia ada.

Pegawainya, Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana timbul isu berkaitan peningkatan jumlah lalat yang ketara di beberapa lokasi di Manjung.

Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini tiada kajian secara terperinci, membuktikan masalah itu disebabkan oleh penternakan ayam.

“Di Manjung kita ada beberapa perusahaan seperti penternakan ayam dan babi, penggunaan baja tahi ayam untuk tanaman serta tapak pelupusan sampah.

“Lanjutan perkara itu, dikatakan terjadinya masalah lalat begitu ketara terutama di Segari sehingga penduduknya kurang selesa.

“Kita sedar dan prihatin terhadap masalah itu dan satu penyelesaian terbaik secara menang-menang harus dicari,” katanya di sini.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh menutup terus atau menghalang sebarang penternakan atau pertanian kerana ia menjadi sumber ekonomi penduduk setempat.

Mohamad Fariz berkata, pihaknya ada bertemu dengan pengusaha ayam dan mereka menafikan masalah lalat berpunca dari mereka.

“Namun, kita tetap berusaha menangani isu ini dengan menjemput seorang profesor dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang pakar berkaitan lalat untuk buat pembentangan khas kepada penternak ayam.

“Pembentangan ini diharapkan dapat bantu mereka kenal pasti bagaimana mahu pastikan penternakan mereka tidak undang lalat," katanya.

Beliau berkata, golongan penternak turut disarankan supaya mengamalkan amalan penternakan baik, sama ada di ladang terbuka atau tertutup.

Katanya, ia bagi menggalakkan operasi pembersihan kawasan penternakan ayam yang cenderung menyebabkan masalah lalat.

Mohamad Fariz berkata, penguatkuasaan menyeluruh akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Veterinar, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Bermula dengan amalan penternakan baik, kita juga mahu mereka memasuki program pemutihan dengan kerjasama Bank Pertanian bagi menyediakan pinjaman untuk mengubah daripada ternakan terbuka kepada ternakan tertutup.

“Kita beri tempoh selama enam bulan untuk penternak ayam ini melaksanakannya, jika sambutan rendah dari mereka, penguatkuasaan lebih tegas akan dilakukan.

“Perkara ini akan dibincangkan pada 11 Januari ini, bagi melihat kerjasama penternak terhadap saranan yang kita berikan,” katanya.

Menurutnya, terdapat lebih 50 penternak ayam di seluruh daerah Manjung dan jawatankuasa khas berkaitan lalat dianggotai Adun Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim dan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham akan ditubuhkan.

sumber : Sinar Harian Edisi Perak

Cetak   Emel

Offcanvas

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.