Sinar Online : 8 April 2018 : Karnival KPTN bantu bakal penuntut


Muhammad Amin melihat pameran robotik oleh PUO sempena KPTN 2018 Zon Perak di Pusat Konvensyen Amanjaya, semalam.


IPOH - Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2018 Zon Perak yang kini berlangsung di Pusat Konvensyen Amanjaya berjaya menyampaikan maklumat diperlukan bakal penuntut.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Amin Zakaria berkata, antara maklumat diperolehi pengunjung adalah mengenai kursus pengajian, tempat pengajian dan pembiayaan pengajian yang ditawarkan.

Justeru menurutnya, karnival kerjasama KPTN dan Politeknik Ungku Omar (PUO) itu dilihat banyak memberikan kemudahan kepada pengunjung melibatkan golongan ibu bapa yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berhubung pengajian tinggi.

“Karnival ini banyak berikan maklumat pengajian tinggi kepada bakal penuntut anak Perak seperti kursus pengajian, tempat pengajian serta pembiayaan pengajian.

“Difahamkan sebanyak 80 booth (reruai) disediakan dan  ada kursus baharu yang diwujudkan dalam usaha

memenuhi kehendak atau selari dengan keperluan industri.

“Sekali gus, menepati Gagasan TN50 yang memerlukan tenaga mahir dalam bidang industri dan sekali gus menjayakan revolusi industri 4.0,” katanya selepas merasmikan karnival itu, semalam.

Karnival berlangsung selama dua hari, berakhir hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Dr Mohammad Naim berkata,  pihaknya menyasarkan seramai 20,000 pengunjung untuk mengunjungi karnival yang dianjurkan buat kali terakhir bagi tahun ini.

Katanya, karnival berkenaan telah berjaya menarik kehadiran 290,000 pengunjung sejak ia dilaksanakan di 15 zon sebelum ini.

“Di Ipoh, kita sasarkan  20,000 pengunjung dalam tempoh dua hari ini. Harap kita dapat cecah 300,000 pengunjung yang berkunjung ke karnival ini,” katanya.


Cetak   Emel