Sinar Online : 9 April 2018 : Nasihat Sultan Nazrin kepada pemimpin politik


Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menyampaikan titah pada istiadat menzahirkan pengumuman pembubaran Dun ke-13 Perak di Istana Iskandariah hari ini. - Foto Bernama

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan budaya demokrasi secara matang dalam menghadapi PRU kali ini.

Menurut baginda, berdasarkan pengalaman 13 kali pilihanraya umum sebelum ini, semua pihak perlu mempamerkan kebijaksanaan dalam berpolitik.

Baginda bertitah, parti politik terutama pemimpin mereka perlu bertanggungjawab dengan mengutamakan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan perpaduan masyarakat.  

“Dalam hasrat dan dalam usaha mahu mendapatkan sokongan pengundi, isu sensitif menyentuh agama, kaum, budaya dan bahasa, yang boleh menjejaskan hubungan harmoni dan perpaduan, hendaklah tidak disensasikan hingga ke peringkat, berpotensi mencetuskan sentimen permusuhan dan rasa kebencian di antara warga.  

“Pada setiap masa, wajib dipelihara dan wajib dipastikan, tidak diucap sebarang perkataan, dan tidak dilakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan di antara warga.  Keselamatan negara dan ketenteraman awam terlalu berharga untuk dikorbankan disebabkan matlamat politik jangka pendek,” titah baginda sempena Istiadat Menzahirkan Pengumuman Pembubaran Dewan Negeri Perak ke-13, di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut bertitah agar tugas pasukan keselamatan tidak dibebani sepanjang berlangsungnya pilihanraya dengan mencetuskan perkara-perkara yang boleh menjejas ketenteraman awam.  

Menurut baginda, pihak penguatkuasaan undang-undang perlu mengambil tindakan tegas dan pantas terhadap sebarang perbuatan daripada mana-mana pihak yang boleh menjejas ketenteraman awam.  

Baginda bertitah, integriti pihak penguat kuasa undang-undang perlu dipelihara dengan mempamerkan amalan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang secara adil yang tidak memihak dan tidak mempamerkan sikap partisan kepada mana-mana kumpulan, dan berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara.

“Beta menyeru kepada semua pihak dan setiap warga untuk membantu menjamin berlangsungnya proses pilihan raya dalam keadaan aman dan tenteram, berteraskan semangat meluhurkan Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang, serta kesopanan dan kesusilaan.  

“Apa juga penentuan yang menjadi pilihan rakyat, berpeganglah kepada prinsip kepercayaan kepada Tuhan.  Bahawa segala yang berlaku dan tidak berlaku, dan apa jua pencapaian atau tidak pencapaian rancangan, adalah di bawah penentuan Ilahi,” titah baginda.

Sementara itu, baginda turut bertitah agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan tugas secara profesional, telus lagi berintegriti memastikan kelangsungan pilihanraya yang tidak dipertikaikan.

“Pilihanraya adalah satu proses yang memberi hak dan peluang kepada warga untuk memilih kerajaan.  Hak dan peluang warga ini wajib dihormati, wajib dihargai, dan tidak dinafikan.  

“Semua pihak wajib memberikan kerjasama untuk membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya, sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan,” titah baginda.

Cetak   Emel