Sinar Harian : 8 Mei 2018 : Rakyat mahu permukiman diteruskan

Dari kiri: Roziah,Mohd Azhar dan Khairol Azuan

SERI MANJUNG - Pendekatan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengadakan program permukiman di setiap daerah di negeri ini memberi pelbagai manfaat kepada rakyat disetiap peringkat.

Perkara itu diakui oleh penduduk setempat termasuk dalam daerah Manjung yang menyokong usaha itu dilakukan secara berterusan.

Penduduk, Khairol Azuan Ariffin, 38, berkata, melalui program itu secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk berjumpa terus dengan pemimpin tertinggi negeri.

“Apabila Datuk Seri (Zambry) turun sendiri ke lapangan, beliau boleh menilai terus setiap permasalahan yang berlaku di setiap kawasan.

“Rakyat pula boleh menyalurkan masalah terus kepada pemimpin tertinggi Perak itu supaya diambil tindakan segera,” katanya.

Menurutnya, istimewanya permukiman apabila interaksi dua hala dijalinkan dapat menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh penduduk dengan kadar lebih cepat.

“Apabila pemimpin tertinggi yang turun padang melihat setiap masalah yang berlaku sudah tentu ini memberi kesan yang baik.

“Namun kita harus faham ada masalah yang dapat diselesaikan dengan cepat dan ada pula yang perlu mengambil masa tertentu,” katanya.

Mohd Azhar Mohamad, 34, juga mengakui permukiman itu memberi manfaat besar kepada rakyat.

Katanya, di peringkat akar umbi, sudah tentu rakyat mahu ia menjadi satu program berterusan dilakukan termasuklah pemimpin kawasan,

“Program ini memang bagus kerana Menteri Besar sendiri dapat melihat dan menilai setiap masalah serta mengumumkan peruntukkan tertentu bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

“Program seumpama ini memang dialukan malahan rakyat mendapat manfaat yang begitu besar termasuklah adanya program pemberian cermin mata percuma,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Roziah Yahya, 53, berkata, melalui program permukiman turut melimpahkan rezeki kepada peniaga sepertinya.

“Saya peniaga dan apabila adanya program permukiman secara tidak langsung rezeki saya juga bertambah apabila dalam program tertentu saya mengambil peluang untuk berniaga.

“Saya akan ikut program tertentu supaya dapat berniaga dan sudah pasti dalam setiap program akan dihadiri oleh ramai orang, jadi di sinilah punca rezeki saya bertambah,” katanya.

Cetak   Emel