Sinar Harian : 5 Jun 2018 : Keterbukaan rakyat keunikan Malaysia

Sebahagian ahli sukarela bersama Yahaya sebelum majlis pelepasan konvoi berkenaan.

SERI MANJUNG - Sikap keterbukaan masyarakat Malaysia dalam membantu golongan memerlukan semakin terserlah tidak mengira latar belakang agama dan kaum.

Adun Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor berkata, perkara itu jelas dapat dilihat selepas tertubuhnya kerajaan baharu apabila masing-masing tanpa mengira kaum dan agama sudi menghulurkan sumbangan apabila melibatkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, semua lapisan masyarakat turut sama berkongsi keperitan dan kesusahan antara satu sama lain melalui sumbangan yang dihulurkan.

“Kita dapat lihat keterbukaan masyarakat semakin terserlah apabila adanya sumbangan dari bukan sahaja orang Islam malahan bukan Islam turut membantu golongan memerlukan ini.

“Ini secara tidak langsung kita dapat lihat masyarakat yang ada selepas tertubuhnya Malaysia Baharu ini semakin tinggi nilai-nilai kemasyarakatannya,” katanya ketika ditemui semasa pelepasan konvoi Prihatin Ramadan anjuran Ikram kelmarin.

Program itu melibatkan pemberian sumbangan berupa barangan keperluan dapur kepada seramai lebih kurang 600 penerima sekitar daerah Manjung.

Seramai 100 sukarela turut serta dalam program berkenaan yang berkonsepkan membeli sambil beramal yang sudah dimulakan sejak 26 Mei lalu dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Pasir Panjang dan empat pasar raya utama di daerah Manjung.

Yahaya berkata, bukan sahaja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikram yang menjalankan usaha membantu golongan memerlukan malahan terdapat syarikat korporat dan badan tertentu lain yang turut menghulurkan sumbangan.

“Kita juga turut menerima sumbangan daripada pihak korporat namun dalam bentuk bantuan tertentu termasuklah kepada anak-anak yatim, orang kurang upaya dan sebagainya.

“Ini juga menunjukkan semua lapisan masyarakat terbuka untuk membantu dalam usaha membangunkan Malaysia,” katanya.

Katanya, dari segi bilangan mereka yang memerlukan bantuan dapat dilihat ada sedikit pertambahan walaupun dikatakan negara hampir menuju ke arah negara maju.

“Tidak sepatutnya bilangan orang susah semakin meningkat dalam keadaan negara dikatakan menuju negara maju namun usaha berterusan akan dilakukan bagi membantu mereka ini.

“Di sinilah setiap masyarakat memainkan peranan untuk sama-sama membantu dalam usaha mengurangkan masalah kemiskinan ini,” katanya.

Cetak   Emel