Sinar Harian : 6 Jun 2018 : Venue Sukma 2018 daerah kekal : EXCO Perak

Abdul Puhat memberikan penerangan kepada Howard acara yang akan berlangsung di Stadium Perak sepanjang penganjuran Sukma 2018.

IPOH - Lokasi beberapa acara bagi kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang ditetapkan di daerah tertentu akan dikekalkan.

Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, sehingga kini perjalanan acara Sukma seperti yang dirancangkan sebelum ini termasuk lokasi beberapa acara yang diadakan di 12 daerah di negeri ini.

Katanya, beberapa acara mungkin berlaku perubahan lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

“Secara dasar dan prinsip kami akan kekalkan dengan cadangan sebelum ini pastikan kesemua 12 daerah (yang terlibat dengan acara) kekal berlangsung kerana tak cukup masa untuk ubah.

Kami juga sedia maklum bahawa ada permintaan di peringkat akar umbi untuk pastikan semua daerah dapat menganjurkan Sukma ini,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan beberapa lokasi acara kejohanan di sekitar Bandar raya Ipoh.

Mengenai perkembangan pembinaan kemudahan Sukma itu, Howard mengakui ada lokasi acara tertentu yang masih belum siap.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya percaya sebarang isu atau masalah yang timbul akan dapat diselesaikan biarpun ada kemudahan yang tidak dapat disiapkan.

“Tinjauan yang kita buat ini untuk mengenalpasti masalah yang berlaku dan mencari penyelesaian bagi memastikan kejohanan Sukma nanti berjalan lancar.

“Kita yakin seperti di Daerah Kinta, nampak ia boleh capai sasaran untuk serah kemudahan yang dah siap dalam masa yang ditetapkan,” katanya.

Antara blok kediaman yang akan digunakan atlet sepanjang berlangsungnya Sukma 2018.

Menurut Howard, ketika ini bukan masa untuk tuding menuding jari jika berlaku masalah sebaliknya mencari jalan penyelesaian terbaik.

Katanya, secara keseluruhannya, persiapan bagi acara utama termasuk penginapan berjalan lancar dan sangat baik.

Beliau berkata, komitmen dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan Sukma ini juga amat mengagumkan.

PUO perkampungan atlet terbesar

Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini, akan dijadikan perkampungan sukan terbesar bagi Daerah Kinta dengan seramai 2,500 atlet akan ditempatkan di situ.

Howard berkata, PUO juga akan menjadi tempat penginapan utama atlet memandangkan banyak lokasi pertandingan akan berlangsung di sini.

Katanya, kemudahan penginapan itu juga akan turut didiami atlet Perak bersama-sama atlet negeri lain.

“Setakat ini saya boleh katakan PUO antara perkampungan atlet yang terbesar di daerah Kinta manakala di daerah lain, penginapan atlet sudah diuruskan.

“Saya telah meninjau perkampungan atlet dan mendapatkan maklum balas dari PUO sebarang masalah atau kekangan yang boleh diselesaikan pihak Sekretariat Sukma,” katanya.

Menurut Howard, bagaimanapun, terdapat 500 lagi atlet akan ditempatkan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi yang akan mengikuti acara di sini.

Sementara itu, bagi acara yang berlangsung di daerah, penginapan atlet disediakan di daerah berkenaan berhampiran lokasi acara kejohanan.

Hadir sama dalam lawatan itu, Penasihat Sukma Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Antara lokasi yang dilawati semalam termasuklah PUO, Stadium Perak, Stadium Indera Mulia, Velodrome Rakyat dan beberapa lokasi lain.

Cetak   Emel