Sinar Harian : 6 Jun 2018 : Penjawat awam Perak terima bonus raya RM1,000

Ahmad Faizal (kiri) mengucapkan tahniah atas pelantikan Mohd Ghazali dan Abu Bakar (kanan).

IPOH - Seramai hampir 15,000 penjawat awam di Perak menerima bantuan khas RM1,000 bagi meringankan beban kewangan dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri ini.

Pemberian itu diumumkan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Menurutnya, bantuan sama turut dinikmati semua kakitangan awam yang menerima lantikan secara kontrak.

“Pembayaran telahpun bermula hari ini, peruntukan bonus Aidilfitri ini bagi membantu kakitangan awam kita membuat persiapan raya dengan lebih meriah.

“Bagaimanapun suka kita mengingatkan agar wang ini digunakan secara berjimat cermat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan pelantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Abu Bakar Said sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baharu.

Lantikan itu katanya, bagi menggantikan Datuk Mohd Ghazali Jalal yang menerima pelantikan sebagai Setiausaha Kerjaaan Negeri, semalam.

“Alhamdulillah, kekosongan jawatan setiausaha kerajaan negeri telah pun diisi dan pelantikan ini mendapat perkenan baginda Sultan,” katanya.

Cetak   Emel