• Utama
  • Informasi
  • Keratan Akhbar
  • Perak Today : 6 Ogos 2018 : Pertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, jangan sensasikan – Sultan Perak
IPOH:Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kedududan Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan kaum-kaum lain tidak disensasikan oleh mana-mana pihak.

Titah Baginda, perkara-perkara tersebut hendaklah dipertahankan dan tidak dikompromikan selain melarang mana-mana individu mahupun badan yang mahu menjadi ‘jaguh’, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas sebagaimana yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Perbuatan mahu merombak persetujuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama, semasa menggubal Perlembagaan Merdeka, akan hanya mengundang kepada berlakunya suasana tidak harmoni yang boleh menggugat kestabilan politik dan ketenteraman awam.

“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa, bagaikan kancil terhimpit mati di tengah-tengah, apabila gajah sama gajah memilih untuk terus bertarung,” titah Sultan Perak pada pembukaan rasmi Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Pada masa sama, bagi menjamin kelangsungan proses keadilan yang saksama dalam struktur Mahkamah Syariah, Sultan Nazrin menitahkan agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan.

Baginda menitahkan supaya satu enakmen Mahkamah Syariah Negeri digubal, dibentang serta diluluksan dalam sidang mesyuarat ketiga, penggal pertama DUN-14.

Titah Sultan Nazrin, struktur Mahkamah Rayuan pada masa ini, hanya memberikan satu lapisan rayuan kepada kes-kes perbicaraan ataupun pendengaranya hanya bermula di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Pada ketika ini, terdapat tiga lapisan Mahkamah Syariah, iaitu, Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah adalah terbatas untuk membicarakan kes-kes jenayah yang hukuman maksimum tidak melebihi denda RM3,000 atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun, atau kedua-duanya.

“Dalam bidang kuasa kes-kes bukan jenayah, Mahkamah Rendah Syariah, dibatasi kuasa, mendengar dan memutuskan pertikaian yang melibatkan amaun tidak melebihi RM1,000 dan tidak termasuk tuntutan hak jagaan anak dan harta sepencarian,” titah Sultan Perak.

Cetak   Emel