IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) agar terus melaksanakan tanggungjawab secara dedikasi, ikhlas, jujur, dan berintegriti.

Baginda bertitah agar kerajaan negeri dapat memenuhi harapan serta amanah yang telah diberikan rakyat pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Titah Sultan Perak, majoriti pengundi mengambil keputusan untuk menukar kerajaan kerana mahukan sebuah kerajaan yang dapat melaksanakan tadbir urus dengan baik.

“Kerajaan yang telah Beta beri perkenan untuk dibentuk berikutan pemilihan rakyat, hendaklah mengurus tadbir negeri berlandaskan undang-undang dan peraturan.

“Jangan sekali-kali melakukan rasuah, salah guna kuasa, menggunakan jawatan untuk meraut keuntungan peribadi dan keluarga, merosakkan khazanah negeri serta melakukan diskriminasi dan penganiayaan.
“Jawatan dan kuasa adalah amanah daripada Ilahi, dikurniakan ALLAH SWT kepada kalangan hamba-Nya sebagai satu ujian, yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa dan ketika.” titah Baginda.

Sultan Perak bertitah pada pembukaan rasmi Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Pada masa sama, Baginda turut bertitah agar kerajaan negeri berhati-hati dalam usaha meningkatkan hasil negeri sehingga tidak menjejaskan alam sekitar.

“Dalam hasrat meningkatkan hasil yang lebih tinggi, Kerajaan Beta akan berhati-hati untuk tidak ‘membunuh angsa yang melahirkan telur emas’.

“Dalam hasrat meningkatkan hasil, Kerajaan Beta tidak akan mengeksploitasi secara keterlaluan, sumber-sumber semula jadi hingga ke peringkat boleh menjejaskan kelestarian alam sekitar, titah Sultan Nazrin.

Selain itu, Baginda juga menitahkan agar kerajaan negeri dapat meminimumkan perbelanjaan di samping mengoptimumkan produktiviti jentera pentadbiran.

Cetak   Emel