Ahmad Faizak ketika sidang media di PerakFM, hari ini.

IPOH - Kerajaan Perak mengalu-alukan sebarang cadangan semua pihak dalam mengatasi masalah kesesakan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dan mengatasi kejadian kemalangan yang kerap berlaku di kawasan Menora.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, cadangan tersebut termasuklah membina laluan alternatif baharu kepada pengguna lebuh raya sedia ada.

Menurutnya, perbincangan akan dilakukan dengan Exco Kerajaan Negeri, Abdul Yunus Jamhari untuk mencari jalan penyelesaian bersama pihak berkaitan bagi memastikan kemalangan dapat dikurangkan di kawasan tersebut.

"Saya memang sentiasa bimbang dengan keadaan lebuh raya apabila kita telah menaik taraf Tol Jelapang itu, tetapi sekarang ini didapati kawasan Terowong Menora begitu bermasalah dengan berlakunya kemalangan demi kemalangan.

"Jadi apa perkara yang boleh kita lakukan adalah kembali berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk mencari penyelesaian dan kerajaan Perak akan sentiasa memberikan kerjasama," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada program Sepagi Bersama Menteri Besar di PerakFM, di sini.

Sebelum ini, kerajaan Perak akan mengkaji pelbagai cadangan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan di lebuhraya itu dari arah Terowong Menora ke Kuala Kangsar di sini.

Dalam perkembangan lain Ahmad Faizal berharap kerajaan persekutuan dapat memikirkan situasi menang-menang kepada semua pihak bagi jajaran lebuh raya tersebut.

"Waktu pembinaan dulu kerajaan negeri terpaksa korbankan kawasan hutan simpan melibatkan penebangan pokok yang amat luas jadi dari segi imbuhan balik ekonomi negeri perlu difikirkan sama.

"Tetapi hari ini apabila syarikat Plus ambil alih lebuh raya ini, jadi saya harap ada sikit imbuhan ekonomi kepada negeri umpamanya sekurang-kurangnya bolehlah kita memberikan geran kepada kawasan Rehat dan Rawat (R&R) supaya dapatlah mereka membayar cukai tanah kepada negeri," katanya.

Beliau berkata, Perak mempunyai jajaran paling panjang untuk lebuh raya ini sejak dahulu lagi dan pihak pengendali mendapat keuntungan daripadanya.

Menurutnya, amat wajar jika sekiranya pihak konsesi memikirkan untuk memberikan sedikit pulangan pada kadar nominal kepada kerajaan negeri.

Cetak   Emel