TIMBALAN Ketua Pengarah Sektor Perlaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Zainal Azman Abu Seman dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang baharu berkuat kuasa semalam.

Zainal Azman yang sebelum ini bertugas dalam NADMA sejak Februari 2016 sudah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang termasuk Penolong Pengarah, Bahagian Keselamatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Setiausaha Sulit Kanan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Pengarah Bahagian Francais Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Perlantikan beliau bagi menggantikan Datuk Mohd Gazali Jalal yang bersara mulai semalam selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Persaraan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri itu diraikan dalam majlis makan malam di sebuah hotel di Ipoh, malam semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata, pengalaman dan kepimpinan Mohd Gazali yang luas dalam perkhidmatan awam menjadikan beliau tabah melalui dugaan ketika berlaku peralihan kuasa dalam kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Katanya, beliau bersyukur kerana Mohd Gazali adalah pakar rujuk paling utama sepanjang dirinya menjadi Menteri Besar.

“Datuk Gazali meletakkan satu tanda aras yang begitu tinggi di kalangan penjawat awam.

“Komitmen beliau terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan sewajarnya dicontohi dan beliau meninggalkan legasi seorang penjawat awam yang sangat berjasa bukan sahaja kepada negeri, malah kepada negara tercinta,” katanya.

Cetak   Emel