Norazizi (dua, kiri) menerima sijil penghargaan daripada Yayasan Spark bersama-sama beberapa agensi dan pertubuhan lain pada majlis tersebut.

IPOH - Kualiti air di Sungai Kinta terus meningkat dan kini berada dalam kelas kedua sejak Program Pendidikan Sungai Kinta dijalankan Yayasan Spark sejak enam tahun lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Norazizi Adinan berkata, pihaknya akan terus memantau bagi memastikan kualiti air di Sungai Kinta yang sebelum ini berada pada kelas ketiga terus berada pada tahap terbaik.


“Kami di Jabatan Alam Sekitar menganggap semua sungai di Perak adalah penting dan usaha yang dijalankan oleh Yayasan Spark adalah usaha yang sangat murni dan kita menyokong 100 peratus bermula projek ini dulu sampai sekarang.

“Saya dimaklumkan bahawa kualiti air di Sungai Kinta dapat dinaikkan dari kelas 3 ke kelas 2. Kelas kedua ini sebenarnya kita boleh buat air minum dari segi kualiti tapi memerlukan sedikit rawatan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Projek W.A.T.E.R Perak anjuran Yayasan Spark dan Jabatan Pengairan dan Saliran Perak, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, inisiatif kerajaan Perak mewujudkan pusat rawatan sisa kumbahan di Lahat juga membolehkan semua punca pencemaran dialihkan dan tidak lagi dialirkan ke sungai.

“Projek ini berlangsung sekarang di Ipoh dan sisa kumbahan ini akan dipusatkan di Lahat. Ini akan beri satu impak yang besar kepada sungai di dalam bandar raya Ipoh kerana sisa tersebut akan dirawat sekali gus membolehkan kualiti air juga dipertingkatkan.

“Negeri Perak mempunyai kualiti air yang bersih dan Perak antara menyumbang kualiti air terbaik di negara ini. Perak mempunyai sungai yang panjang dan kualiti air paling baik tetapi ia tidak bermakna kita akan lepas tangan untuk memelihara, sebaliknya kita akan menambah baik rekod ini,” katanya.

Norazizi berkata, melalui program kesedaran dan pendidikan yang dilaksanakan, pihaknya berharap ia dapat menggalakkan orang ramai untuk turut serta dalam meningkatkan kualiti air sungai.

Cetak   Emel