IPOH: Bagi meraikan kejayaan The Bos Gaurus menempatkan diri dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menentang Terengganu pada 27 Oktober ini, para penyokong bola sepak Perak berpeluang memenangi 10 tiket perlawanan tersebut dalam satu pertandingan.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menerusi satu kenyataan di laman Facebook miliknya berkata, mereka hanya perlu membuat ulasan berkenaan perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun 2000 iaitu pertemuan di antara Perak dengan Negeri Sembilan.

Katanya lagi, ulasan tersebut hendaklah dirakam dalam sebuah video yang berdurasi 1 minit, serta dimuat naik ke halaman media sosial Facebook ataupun Instagram.

Tambahnya, video yang berjaya mendapat tanda suka terbanyak akan dikira sebagai pemenang.

“Sesiapa yang boleh membuat ulasan video paling menarik, berkenaan perlawanan akhir pada tahun 2000 itu, di bawah satu minit, akan memenangi hadiah tiket percuma.

“Tempat pertama akan memenangi lima tiket percuma, tempat kedua akan memenangi tiga tiket percuma dan tempat ketiga bakal memenangi dua tiket percuma,” katanya menerusi satu video yang berdurasi dalam 1 minit.

Selain itu katanya, keputusan pertandingan itu akan diumumkan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Datuk Azumu pada Khamis ini.

Pemenang boleh menuntut tiket tersebut daripada beliau di Stadium Shah Alam pada Sabtu jam 5.00 petang.

Semalam, Perak berjaya melayakkan diri ke pentas final Piala Malaysia selepas mengikat Sabah 2-2 di Stadium Likas dan mara dengan kedudukan agregat 7-2.

Cetak   Emel