• Utama
  • Informasi
  • Keratan Akhbar
  • Perak Today : 7 November 2018 : Penyokong berhak suarakan pandangan, tetapi saya tetap dengan pendirian – Hasnul
IPOH: Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnian Abdul Munaim, berkata dirinya terbuka untuk menerima sebarang kritikan namun pada masa sama, beliau tidak akan melepaskan jawatan tersebut sebagaimana yang didesak sesetengah pihak.
 
Jelasnya, beliau mempunyai misi tertentu yang lebih besar terhadap perkembangan bola sepak negeri pada masa hadapan.

“Setakat ini kenyataan Menteri Besar memberikan saya pilihan sama ada untuk diteruskan atau sebaliknya. Saya akan berbincang dengan beliau nanti.

“Para penyokong berhak untuk menyuarakan bantahan tetapi saya ada pendirian, bersama dengan barisan Exco Pafa.

“Dalam perlembagaan Pafa, Exco persatuan mempunyai kuasa besar iaitu boleh membuat undi tidak percaya kepada mana-mana presiden, timbalan presiden ataupun ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan penyokong bola sepak Perak di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pagi tadi.

Kehadiran mereka yang terdiri daripada 10 kelab penyokong di situ bertujuan untuk menyerahkan memorandum dan tanda tangan bantahan kepada Menteri Besar yang mahu mendesak supaya Hasnul melepaskan jawatan Presiden Pafa.

Pertemuan yang tidak dirancang itu berlangsung sekitar 5 minit dan ia berada dalam keadaan aman.

Terdahulu, di lokasi yang sama, wakil-wakil penyokong bola sepak Perak, mula berkumpul di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan sekitar jam 8.30 pagi.
Salah seorang daripada mereka, Mohd. Jefferey Amin Abd Hamid berkata lebih daripada 3,000 tanda tangan bantahan berjaya dikutip semenjak ia dilancarkan di pasar Memory Lane, baru-baru ini selain tanda tangan secara dalam talian.

Ujarnya, bantahan tersebut akan tetap diteruskan sehingga minggu hadapan.

Ketika ditanya pemberita sama ada sekiranya Hasnul tetap tidak mahu melepaskan jawatannya, Mohd. Jefferey berkata pihaknya akan menyerahkan keputusan tersebut kepada Hasnul kembali.

“Terpulang kepada beliau. Sebagaimana saya katakan sebelum ini, apabila awak sudah buat silap, semua pihak marah dan awak masih dengan jawatan tersebut, saya tak tahu lah bagaimana,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi wakil kelab penyokong bola sepak Perak, Mohd Shirin Adnan berkata pihaknya akan menilai prestasi Hasnul terhadap perkembangan bole sepak negeri pada musim hadapan dan sekiranya tidak ada perkembangan positif, pihaknya akan terus mendesak Hasnul meninggalkan kerusi Presiden Pafa.

Kesemua yang hadir kemudiannya berjaya menyerahkan memorandum bantahan tersebut kepada Pegawai Khas Menteri Besar, Khairul shahril amin pada jam 9.15 pagi.

Cetak   Emel