IPOH – Anak syarikat milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Janamanjung Sdn Bhd telah menyempurnakan komitmen terakhir lima tahunnya untuk tabung khas menerusi program Tanggungjawab Korporat (CR) dengan menyerahkan cek sumbangan hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terdahulu telah menerima cek sumbangan tersebut daripada Pengarah Urusan TNB Janamanjung Sdn Bhd, Datuk Syamsul Ahmad di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

TNB dalam kenyataannya menyatakan bahawa tujuan penyerahan sumbangan tersebut meliputi kegiatan memberi kehidupan dan persekitaran lebih sejahtera serta memastikan bekalan tenaga mencukupi melalui beberapa operasi termasuk stesen-stesen janakuasa di Sungai Perak, Cameron Highland dan Majung.

Dalam tempoh dua tahun lalu, CR TNB telah membina dan membaik pulih rumah melalui Program Mesra Rakyat (PMR), menjadikan dua buah sekolah di Manjung sebagai sekolah angkat dengan usahasama antara kerajaan negeri serta menaungi program PINTAR yang melibatkan pelbagai bantuan untuk meringankan beban ibu bapa menjelang awal tahun persekolahan.

Selain itu, CR TNB juga akan membangunkan dua program sukan di negeri ini melalui pembangunan pasukan hoki Thunderbolts Anderson dan penganjuran acara berbasikal Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) yang menjadi agenda tahunan bagi pelancongan negeri.

Dalam pada itu, terdapat juga projek pemuliharaan alam sekitar jangka panjang yang dilakukan termasuk Pembanguna Sistem Ramalan Paras Air Tasik Temenggor, Pengurusan Lestari Sumber Asli Taman Negara Royal Belum, Pengurusan Air Bersepadu Sungai Perak dan Program Pengurusan Bencana.

Mulai tahun 2020, Kampung Dew Taiping dijangka akan menerima kunjungan pelancong berikutan dipilih sebagai kawasan memelihara dan memulihara habitat kelip-kelip.

Cetak   Emel