IPOH: Peruntukan khas sebanyak RM1.5 juta kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di seluruh Perak membuktikan kerajaan negeri sentiasa komited untuk membela nasib golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), termasuk, kanak-kanak down sindrom.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisiatif bantuan yang julung kali diwujudkan di negara ini akan disalurkan kepada kesemua 41 PPDK negeri secara berkala.
Jelasnya, melalui bantuan tersebut, ia bakal membantu setiap PPDK untuk mengadakan beberapa program terhadap pembangunan kanak-kanak down sindrom, seperti menjemput pakar-pakar luar yang mahir terhadap perkembangan awal ataupun ‘Early Intervention’ kepada mereka.

“Bantuan bulanan ini diharapkan akan mampu meningkatkan potensi anak-anak istimewa ini.

“Peruntukan ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam menyokong usaha membela kumpulan masyarakat yang memerlukan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Makan Malam Amal Komer Run: For Down Syndrome 2018 di Hotel Casuarina Meru Raya, di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Hadir sama, Presiden Persatuan Sindrom Down Perak (PSDP), Asyraf Ismail.
Sementara itu, selain menyentuh peruntukan Belanjawan Negeri 2019, Ahmad Faizal turut menjelaskan bahawa kerajaan persekutuan juga ada memperuntukkan RM10 juta bagi menyokong segala usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan keusahawanan sosial dalam membantu membela nasib golongan OKU.

“Saya juga mengharapkan NGO berkaitan untuk meneroka potensi keusahawanan sosial, susulan insentif potongan cukai pendapatan ke atas sumbangan mana–mana pihak kepada suatu keusahawanan sosial dengan had potongan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat syarikat dan, 7 peratus daripada agregat individu yang memberikan sumbangan.
“Semoga langkah ini akan melonjakkan lagi sokongan masyarakat dan pihak korporat kepada NGO yang membela nasib golongan yang wajib mendapat pembelaan,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Hasnul yang mewakili Menteri Besar turut berkesempatan menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri kepada PSDP sebanyak RM50,000.

Cetak   Emel