Sinar Harian : 4 Februari 2018 : Kerajaan negeri sambut baik bandar automatif

Zambry ketika sidang media di Seri Manjung, hari ini.

SERI MANJUNG - Kerajaan negeri menyambut baik usaha memastikan bandar Tanjung Malim menjadi bandar automatif yang pesat membangun selain menjadi bandar baharu kepada golongan muda melalui Bandar Belia 1Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya bersedia memberi kerjasama bagi memastikan segala pelan perancangan termasuk pelan pembangunan kluster di bandar Tanjung Malim dapat dilaksanakan.

Menurutnya, ia selaras komitmen tinggi yang ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pelancaran Kluster Automotif Nasional (NAC) @ Proton City, semalam, menjadi indikasi bahawa kerajaan akan memastikan impian menjadikan bandar Tanjung Malim sebagai hab automatif tercapai.

"Kerajaan juga akan pastikan Proton tidak terus ketinggalan dan ini adalah indikasi bahawa kerajaan akan memberi lebih pengupayaan di Tanjung Malim untuk menjadi bandar pesat membangun dalam tempoh beberapa tahun.

"Dengan penglibatan Geely (sebagai rakan strategik), kita mempunyai keyakinan yang tinggi bandar Tanjung Malim akan berjaya dan kita telah bincang dengan DRB-Hicom Berhad bagi mengembangkan lagi potensi yang ada di Tanjung Malim," katanya dalam sidang media ketika program Sembang Anak Muda Jee bersama Menteri Besar di Dewan Kampung Dato' Seri Kamaruddin (KDSK), di sini, hari ini.

NAC @ Proton City yang dilancarkan Najib meliputi kawasan seluas 397 hektar dan merupakan fasa pembangunan sete­rusnya bagi Proton City, bukan sahaja merangkumi pembangunan Bandar Belia 1Malaysia dan Edu City, malah melibatkan hab automotif berteknologi tinggi serta pemasangan kereta berjenama global dan pengeluaran untuk pasaran eksport.

Katanya, beberapa kemudahan juga turut dicadangkan dilaksana di Tanjung Malim  supaya melancarkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.

"Kami ada bincang prasarana  di kawasan itu termasuklah kemudahan pengangkutan awam bagi menghubungkan dari satu tempat ke satu tempat di situ.

"Saya turut mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk memajukan pusat-pusat penginapan bertaraf tiga hingga lima bintang dan juga resort bagi memudahkan mereka yang akan berada di kawasan ini dapat menggunakan kemudahan itu," katanya.

Zambry berkata pihaknya telah membuat perbincangan awal dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memastikan pelan menjadikan bandar Tanjung Malim sebagai Bandar Belia 1 Malaysia dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Malah saya juga telah berbincang lebih awal dengan Perdana Menteri dan saya harap pembinaan ini dapat disegerakan dan menjadi bandar cemerlang untuk golongan muda," katanya.

Cetak   Emel