Sinar Harian : 6 Februari 2018 : Bantu bomba capai sasaran 'respon time'

Rashidi menyerahkan pakaian operasi PBS kepada wakil PBS Pasir Panjang Laut

SERI MANJUNG- Penubuhan pasukan bomba sukarela (PBS) diharapkan dapat mencapai sasaran masa tindak balas (respon time) sebelum sepuluh minit anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia tiba di lokasi kejadian kecemasan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Negeri Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, terdapat sebanyak 43 PBS di seluruh Perak yang membantu bomba untuk menghadapi saat kecemasan seperti kebakaran.

"Pasukan bomba mensasarkan masa tindak balas tiba di sesuatu lokasi kejadian sebelum sepuluh minit namun disebabkan kekangan tertentu kita masih tidak mencapai sasaran ini.

"Salah satu inisiatifnya ialah melalui penubuhan PBS yang diharapkan mampu tiba dulu untuk memberi bantuan jika berlaku sebarang kecemasan,"katanya ketika majlis penyerahan pakaian operasi PBS Pasir Panjang Laut, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Adun Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim.

Menurutnya, anggota PBS melibatkan masyarakat awam yang berada dalam komuniti setempat.

Katanya, mereka turut diberi latihan untuk mengendalikan sesuatu kes kecemasan.

Beliau berkata, PBS Pasir Panjang adalah satu-satunya PBS yang ada di bawah seliaan Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung.

Cetak   Emel