Perak Today : 8 Mac 2018 : ‘Sebelum Cakap, Saya Dah Buat Dulu’


LEKIR: Menteri Besar Perak menggalakkan rakyat di negeri ini menanam sayur-sayuran di halaman rumah sebagai satu langkah penjimatan dalam mendapatkan bahan-bahan asas masakan.

Datuk Seri Dr Zambry berkata, ia juga merupakan sebahagian daripada amalan masyarakat sewaktu ketika dahulu yang kini kian dilupakan.

Jelasnya, beliau sendiri turut mengamalkan amalan menanam beberapa tumbuhan yang hasilnya boleh dimakan, di kediamannya.


“Sebab itu saya katakan, kembalikan semua amalan ini. Kadang-kala sampai ke peringkat benda kecil pun kita hendak beli.

“Sebelum saya bercakap ini saya sudah buat dahulu. Saya tak mahu orang kata saya hanya tahu bercakap.

“Di kediaman saya, saya sendiri menanam beberapa jenis sayur. Hendak makan buah tin, saya sendiri pun tanam buah tin,” katanya.

Jelasnya, kepelbagaian tanaman dikediamannya itu sehingga ia boleh dibekalkan kepada ahli keluarganya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Jualan Usahawan Tani dan Program ‘touch point’ sempena Permukiman Menteri Besar di Parlimen Lumut di Dataran Komuniti Bestari, Batu 10, dekat sini, pada Khamis.


Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim; Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip serta Pengarah Pertanian Perak, Noorazmi Yahya.


Pada masa sama beliau turut menegaskan pihak kerajaan senantiasa berusaha meringankan beban rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang dijalankan.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan penyerahan kit ‘jom bertani’ kepada 100 peserta anjuran Jabatan Pertanian serta penyerahan anak pokok nangka dan durian belanda beserta baja kepada 180 penerima.

Turut disempurnakan penyerahan bantuan  sara hidup kepada lebih 1,000 nelayan kawasan Manjung Selatan dan Pulau Pangkor.

Di samping itu, beliau turut menyampaikan ‘mobile food kiosk’ kepada tujuh peserta di bawah program agropreneur muda.

Cetak   Emel