• Utama
  • Pusat Media
  • Multimedia

Sinar Harian : 22 Sept : Misteri kematian dua beradik

BERUAS - Dua warga emas ditemui meninggal dunia di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pulau Meranti kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Mangsa Salmiah Yaacob dan Salasiah Yaacob yang berusia dalam lingkungan 70-an merupakan adik-beradik.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, kedua-dua mangsa itu dipercayai telah meninggal dunia sejak empat atau lima hari lalu berdasarkan kepada keadaan fizikal kedua mayat.

Menurutnya, daripada pemeriksaan di rumah tidak ada sebarang tanda pergaduhan dan keadaan rumah seperti biasa.

“Kedua-dua wanita berkenaan adalah adik beradik dan mereka ditemui meninggal di dalam rumah.

“Setakat ini kita tidak mengklafikasikan lagi kes ini kerana masih menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, anak saudara kepada dua beradik berkenaan, Mazlan Yunus, 52, terkejut apabila melihat kedua-dua ibu saudara mereka ditemui sudah meninggal dunia.

Mazlan berkata, dia sering menziarahi kedua-dua ibu saudaranya itu yang dipanggil Mak Ngah (Salmiah) dan Mak Lang (Salasiah) di rumah mereka di ladang kelapa sawit, Sungai Beruas, Kampung Meranti.

“Ketika sampai saya membunyikan hon dan kebiasaannya mereka akan terus membuka pagar tetapi kali ini tidak.

“Saya juga memberi salam berulang-kali namun tidak ada yang menyahut. Saya terkejut apabila melihat pintu belakang terbuka dan melihat Mak Ngah terbaring di lantai dalam keadaan kain terlondeh.

“Selepas itu saya mencari Mak Lang dan amat mengejutkan dia juga sudah kaku di atas kerusi malas,” katanya.

Katanya, mayat kedua-duanya sudah berulat dan busuk serta dalam keadaan yang menyedihkan.

“Dalam tiga minggu lalu, Mak Ngah dan Mak Lang ada beritahu kehadiran lelaki warga asing yang bertanya bilangan ahli keluarga yang tinggal di rumah ini.

“Mereka (mak saudara) tidak selesa dengan kehadiran warga asing berkenaan dan memarahi mereka. Saya khuatir jika warga asing itu ada menyimpan dendam atau sebagainya.

“Jika benar mereka yang melakukannya ia adalah sangat tidak wajar kerana kedua-dua ibu saudara sudah tua dan saya harap pelaku akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

sumber : Sinar Harian Edisi Perak

Cetak   Emel

Offcanvas

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.