Sinar Harian : 22 Mei 2019 : Lapangan Terbang Pangkor beroperasi semula 1 Oktober depan


Kemudahan di Lapangan Terbang Pangkor masih berada dalam keadaan baik meskipun hampir lima tahun tidak beroperasi.

PULAU PANGKOR - Lapangan Terbang Pangkor akan beroperasi semula 1 Oktober ini dengan perkhidmatan penerbangan domestik secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.

Penerbangan komersial menggunakan pesawat jenis Twin Otter itu dikendalikan syarikat penerbangan SKS Airways Sdn Bhd dan boleh memuatkan 19 penumpang.

Sebagai permulaan, SKS Airways menyediakan perkhidmatan secara harian iaitu satu kali penerbangan pergi dan balik dari LTSAAS ke Pulau Pangkor dan penerbangan dua kali sehari pergi dan balik dari LTSAAS ke Lapangan Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata, dengan adanya laluan udara itu akan menjadikan perjalanan pengunjung ke Pangkor hanya mengambil masa sekitar satu jam sementara 15 minit untuk Subang-Ipoh.

"Panjang landasan di Lapangan Terbang Pangkor adalah 732 meter, jadi ia memang sesuai untuk penggunaan pesawat Twin Otter yang boleh memuatkan 19 penumpang pada satu-satu masa.

"Sekiranya kita mencapai perkembangan yang baik, kerajaan negeri tidak akan menolak untuk menambah lagi jumlah penerbangan ke sini," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Pulau Pangkor hari ini


Kar Hing (empat, kanan) ketika dibawa meninjau keadaan landasan Lapangan Terbang Pangkor.

SKS Airways Sdn Bhd yang berpangkalan di Johor Bahru turut mempunyai hub penerbangan lain antaranya di Subang dan Langkawi.

Lapangan Terbang Pangkor dibina pada 1993 dan kali terakhir penerbangan beroperasi adalah pada Februari 2014 sebelum digunakan bagi tujuan pesawat persendirian.

Kar Hing berkata, keputusan untuk menghidupkan kembali lapangan terbang itu adalah selaras dengan pengiktirafan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari depan.

"Kita mahu mulakan operasi penerbangan dahulu supaya usaha mempromosikan Pulau Pangkor dapat dilakukan lebih awal.

"Kerajaan Perak amat berterima kasih dengan MAHB dan SKS Airways yang memberi kerjasama hingga menjadikan perkhidmatan penerbangan ini dapat direalisasikan," katanya.

 Dalam pada itu beliau berkata, lawatan yang dilakukan ke Lapangan Terbang Pangkor mendapati, kemudahan di situ serba lengkap dan masih berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.

 Bagaimanapun katanya, kerajaan Perak akan meneliti beberapa keperluan lain antaranya kelengkapan perabot, landasan yang perlu dicat semula serta tenaga kerja pengurusan.

 "Buat masa ini ada tiga pekerja tetapi dengan pembukaan lapangan terbang nanti, kita memerlukan sekurang-kurangnya tujuh orang.


Kemudahan di Lapangan Terbang Pangkor masih berada dalam keadaan baik meskipun hampir lima tahun tidak beroperasi.

"Jadi dalam tempoh tiga ke empat bulan ini, kita akan percepatkan apa juga proses bagi menambah baik kekurangan supaya pada 1 Oktober nanti, lapangan terbang berada dalam keadaan siap untuk digunakan," katanya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama agensi kerajaan daerah Manjung, Tourism Perak, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), SKS Airways Sdn Bhd dan penggiat industri pelancongan Pulau Pangkor.

Matlamat kerajaan negeri katanya bukan sekadar mengadakan penerbangan, tetapi untuk membawa limpahan ekonomi yang dapat dirasai seluruh penduduk dalam daerah Manjung.

"Perbincangan bersama pemain industri pelancongan tetap akan berjalan dan kita mahu impak perkhidmatan penerbangan serta kerancakan pulau bebas cukai memberi kesan positif kepada pengusaha makanan, hotel, bot dan sebagainya," katanya.

Print   Email

splwpk-search-function="splwpk-search-function"