Perak Today : 16 Januari 2018 : 200 Kakitangan Jabatan Perikanan Perak, KPSN Tandatangani IBR


LUMUT: Lebih 200 kakitangan dari Jabatan Perikanan Perak dan Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN) Lumut, hari ini menandatangai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Kompleks Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan, hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Zainul Darus berkata ia merupakan jabatan yang ketiga menandatangani IBR, selepas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Negeri dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).


“Pada 2017 sebanyak 130 IBR telah ditanda tangani seluruh Perak dan hari ini merupakan IBR dan lafaz ikrar ketiga, yang melibatkan dua entiti sekali gus.

“Jika sebelum ini, kita yang pergi ke jabatan-jabatan namun pada tahun ini, kelainan yang kita buat ialah ia ditandatangani secara sukarela. “Dan kita jangkakan pada Mac ini akan ramai yang tampil menandatangi IBR,” katanya.


Ujarnya lagi, SPRM Perak juga turut menjangkakan kesemua jabatan kerajaan negeri, persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan seluruh negeri sempurna menandatangani IBR menjelang Jun.

Tambahnya, SPRM Perak juga akan berterusan mengadakan sesi ceramah, kempen anti rasuah serta pemantuan berkala kepada semua jabatan yang telah menandatangani IBR bagi menutup ruang dan peluang bagi gejala rasuah ini dari terus berleluasa.


Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan pada Majlis Perhimpunan Dan Program IBR Kakitangan Jabatan Perikanan Perak 2018 dekat sini, pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah KPSN, Sukri Deris

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri yang ditemui berkata, pihaknya sentiasa memandang serius terhadap kesalahan ini kerana ia boleh mencemarkan nama baik sesuatu jabatan mahupun institusi.

Cetak