Sinar Harian : 25 Mei 2018 : Kawasan pendaratan penyu terjejas

Meor (dua, kanan) menunjukkan pelan kawasan pendaratan penyu kepada Dr Hatta (tiga, kanan) dan Yahaya (kiri)

SERI MANJUNG - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa supaya aktiviti pengorekan dan pengambilan pasir di muara Sungai Puyu, Pantai Pasir Panjang Segari dihentikan segera bagi mengelakkan kemusnahan kawasan pendaratan penyu.

Pegawai Penyelidik Lapangan SAM Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, aktiviti pengorekan dan pengambilan pasir yang dilakukan di kawasan itu melibatkan kawasan pendaratan penyu utama di Perak yang dikategorikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap 1.

Menurutnya, kawasan itu sepatutnya tidak boleh dibangunkan untuk sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah kecuali kegiatan pelancongan ekonomi berimpak rendah, pendidikan dan penyelidikan.

“Kawasan ini juga terdedah kepada risiko hakisan dan di sini satu-satunya kawasan pendaratan penyu di Perak.

“Bila adanya aktiviti pengambilan pasir ini kita khuatir boleh menjejaskan alam semula jadi dan seterusnya memberi kesan kepada jumlah pendaratan penyu,” katanya dalam sidang media di pusat khidmat Amanah Parlimen Lumut semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lumut, Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Adun Pasir Panjang Yahaya Mat Nor.

Meor berkata, walaupun pengambilan pasir itu adalah sah namun pihak yang memberi kelulusan itu harus bertanggungjawab atas kemusnahan yang berlaku.

“Berdasarkan kepada maklumat daripada pihak pengutip telur penyu, jumlah penyu yang mendarat di sini semakin berkurangan.

“Saya harap kerajaan baru yang mengambil alih perlu menghentikan segera pengambilan pasir ini,” katanya.

SAM turut menggesa agar kawasan itu diwartakan sebagai kawasan perlindungan untuk penyu mendarat dan kawasan hutan berhampiran digazetkan sebagai Taman Negeri.

“Kita harap kerajaan yang baru ini boleh segera mengazetkan kawasan ini sepanjang 7 km melibatkan kawasan pendaratan penyu dan kawasan hutan berhampiran sebagai Taman Negeri.

“Perkara ini perlu supaya tidak ada lagi pihak yang boleh melakukan sesuatu yang menyebabkan perubahan ekosistem di sini,” katanya.

Sementara itu, Dr Hatta berkata, pihaknya sudah membuat lawatan ke lokasi pengambilan pasir berkenaan tiga hari lalu.

“Saya difahamkan pasir di sini dikorek bagi mencegah banjir dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan mereka dibenarkan untuk mengambil pasir dalam jumlah tertentu.

“Menurut penerangan mereka, aktiviti mengorek muara sungai itu sudah selesai cuma jumlah pasir yang diambil masih belum cukup dari jumlah yang ditetapkan.

“JPS menerangkan dalam tempoh seminggu lagi pengambilan pasir itu akan selesai sepenuhnya,” katanya.

Katanya, perkara itu akan dipantau dan jika masih ada aktiviti pengambilan pasir selepas tempoh seminggu tindakan tertentu akan diambil.

“Kita juga akan berbincang lebih lanjut lagi tentang cadangan yang dibawa oleh SAM dan kajian terperinci akan dilakukan bagi melihat sama ada pengorekan pasir itu benar-benar memberi manfaat kepada projek tebatan banjir atau tidak “katanya.

Cetak