Perak Today : 22 Januari 2019 : Empat syarikat jalin kerjasama MOU bina lagi rumah Perakku, rumah mesra milik

IPOH:Empat syarikat pemaju perumahan dipilih bagi menjalin kerjasama dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) untuk pembinaan sebanyak 1,684 unit perumahan di empat lokasi terpilih.

Empat syarikat tersebut adalah Syarikat King Ong Sdn Bhd, Tract Evo Sdn Bhd, Mimbar Nusantara Homes Sdn Bhd yang bekerjasama dengan pihak LPHP manakala syarikat Bimbingan Simfoni Sdn Bhd bersama pihak SSI.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pembinaan hampir 2 ribu unit rumah mampu milik yang dijangka siap dalam masa dua hingga tiga tahun lebih awal melibatkan empat lokasi di Temoh Stesen,Mukim Chenderiang Batang Padang (338 unit), Kampung Serdang Manjung (447 unit),Tanjung Tualang, Kampar (301 unit) dan Tanah Hitam Kinta sebanyak 598 unit.

“Projek tersebut melibatkan Pembangunan Rumah Mesra Milik Perakku kos rendah,kos sederhana dan Rumah Mesra Milik di setiap kawasan terlibat dan banyak lagi skim perumahan telah dirancang dan sedang dilaksanakan oleh agensi ini yang dianggarkan sebanyak hampir 10 ribu unit tahun ini,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Setiausaha Kerajaan Negeri Zainal Azman Abu Seman wakil (SSI) bersama empat wakil pemaju di Pejabat Menteri Besar hari ini.

Katanya projek-projek perumahan yang dirancang ini juga akan dapat menyumbang kepada ‘growth deveplopment product’ kepada negeri ini selain menjana pelbagai peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Mengulas mengenai pemilihan kriteria pemaju jelas Ahmad Faizal Kerajaan Negeri meneliti kelebihan dan kekuatan syarikat sebelum menjalinkan kerjasama dengan agensi Kerajaan bagi menghindar masalah projek tergendala.

“Keempat syarikat kita kerjasama ini perlu ambil maklum bahawa ada harapan besar diletakkan kepada anda untuk menyiapkan projek seperti yang dirancang,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini LPHP berperanan bagi mengatasi masalah projek yang gagal disiapkan mengikut jadual dan bersedia membantu dengan pihak pemaju terlibat.

“Setakat ini syarikat yang bermasalah akan berbincang dan jika tidak dapat menyelesaikannya pemaju rela hati menyerahkan projek semula kepada LPHP dan tiada pemaju yang diambil tindakan undang-undang,”katanya.

Tambahnya lagi sasaran pembinaan 50 unit untuk tempoh lima tahun tetap akan dicapai melalui kerjasama pelbagai pihak.

Cetak