Sinar Harian : 23 September 2019 : Bomba siap sedia hadapi Monsun Timur Laut

Azmi (tengah) menerima sijil IBR daripada Fatimah yang mewakili Pengarah SPRM Perak hari ini.

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak bersiap siaga menghadapi fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada 24 September hingga awal November ini.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, Jabatan Meterologi Malaysia memaklumkan sepanjang tempoh itu kawasan dalam negara akan menerima tiupan angin yang berpotensi berlakunya banjir kilat serta angin kencang.

Menurutnya, kesiapsiagaan menghadapi banjir melibatkan bahagian logistik, keanggotaan dan respons masyarakat.

“Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga dalam menangani kejadian-kejadian yang mungkin akan berlaku pada musim ini dengan menyelenggarakan peralatan dan kenderaan.

“Seramai 1,400 anggota telah diberikan penekanan dengan mengadakan latihan selain melaksanakan kajian kawasan yang berisiko berlakunya banjir dan tanah runtuh,” katanya dalam sidang media pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah JBPM Perak dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini hari ini.

Hadir sama Pemangku Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perak, Fatimah Hamid dan Komander ABPM Wilayah Utara, Mohd Rizal Buang.

Azmi berkata, pihaknya akan berkolaborasi dengan agensi penyelamat lain bagi memantapkan kecekapan dalam membantu masyarakat.

“Kolaborasi akan terus digerakkan kerana yang penting adalah tindakan kita cepat dan efisien untuk bantu masyarakat.

“Masyarakat juga perlu peka dengan keadaan semasa serta mengambil langkah proaktif untuk selamatkan diri dan harta benda,” katanya.

Terdahulu, seramai 230 pegawai dan anggota melafazkan ikrar bebas rasuah yang diketuai oleh Azmi.


Beliau menegaskan pentingnya anggota untuk melaksanakan perkhidmatan bersih tanpa rasuah dengan berlandaskan kepada prosedur yang telah ditetapkan.

“Perkhidmatan ini melibatkan pelanggan-pelanggan JBPM seperti konsultan, arkitek dan kontraktor dan sebagainya untuk menghindari amalan rasuah.

"Kita akan terus memperkasa peraturan-peraturan dalam memperkemas pelaksanaan tugas harian kerana sekiranya kepincangan berlaku, ia akan membuka ruang kepada penjawat awam termasuk anggota bomba untuk terlibat dalam kegiatan rasuah," katanya.
 

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"