Sinar Harian Perak : 18 Disember 2019 : Ahmad Suaidi SUK Perak baharu

IPOH - Bekas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dilantik secara rasmi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak yang baharu bermula hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Zainal Azman Abu Seman yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Bahagian Korporat Pejabat SUK Perak, Ahmad Suaidi telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Kuala Lumpur semalam berikutan pelantikan tersebut.

Ahmad Suaidi sebelum ini merupakan Datuk Bandar Ipoh ke-11 setelah dilantik ke jawatan itu pada 1 Julai 2019.


Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos.

Anak kelahiran Pantai Remis, Perak itu turut pernah berkhidmat di beberapa Kementerian antaranya Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Selain itu, Ahmad Suaidi pernah menjadi Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Selangor.

Dilahirkan pada 11 Mac 1970, Ahmad Suaidi berkelulusan Ijazah Sarjana Informasi Global dan Telekomunikasi dari Universiti Waseda, Jepun dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Bioteknologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, bekas Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Datuk Zulazlan Abu Hassan dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang kosong berikutan persaraan Datuk Abu Bakar Said.

Manakala jawatan Penasihat Undang-Undang Perak yang turut kosong sebelum ini diisi bekas Timbalan Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Peguam Negara, Azmir Shah Zainal Abidin.

Cetak