Sinar Harian : 23 Mac 2020 : Premis makanan, pandu lalu hanya sehingga 7 malam di Perak

IPOH - Semua premis makanan termasuk pandu lalu di Perak dibenarkan beroperasi sehingga 7 malam sahaja berkuatkuasa hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kebenaran operasi itu bermula jam 7 pagi hingga 7 malam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, ketetapan sama turut dikenakan ke atas semua kedai serbaneka dan pam minyak di seluruh negeri, kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam termasuk 7 eleven.

"Arahan ini berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Mac atau sehingga tempoh Perintah Kawalan Perintah ditarik balik.

"Sehubungan itu semua agensi hendaklah mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas untuk memastikan arahan ini dipatuhi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Perak hari ini.

Ahmad Faizal berkata, penglibatan agensi komunikasi di peringkat negeri akan dipergiatkan dan berfokus dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

"Hanya premis dan perniagaan yang dibenarkan beroperasi sahaja boleh menjalankan operasi manakala yang lain perlu menutup operasi masing-masing," katanya.

Ahmad Faizal turut mengingatkan semua agensi memberi kerjasama dan sokongan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang telah digerakkan.

"Pihak yang bermurah hati dan ingin menyumbang kepada petugas dan anggota keselamatan boleh menyalurkannya melalui pejabat daerah atau di balai polis berhampiran," katanya.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"