Utusan Malaysia : 8 Disember 2020 : Malaysia mampu jadi peneraju teknologi dron, robotik Asia Tenggara

ISKANDAR PUTERI: Penubuhan Zon Dron dan Robotik (DRZ) di Wilayah Iskandar Malaysia berupaya meletakkan Malaysia selaku peneraju teknologi dron dan robotik di rantau Asia Tenggara pada masa depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, usaha ini mampu dicapai bersandarkan kepada kelebihan yang dimiliki.

Jelasnya, antara kelebihan itu termasuklah kedudukannya yang strategik, infrastruktur asas yang lengkap serta keupayaan modal insan.

“Berdasarkan laporan industri 2020 yang dikeluarkan oleh ‘Drone Industry Insight’, Asia dijangka mencatatkan peningkatan perolehan daripada RM34.9 bilion tahun ini kepada RM72.8 bilion menjelang tahun 2025.

“Bagi sektor robotik, Asia Pasifik menyumbang kepada 54 peratus pasaran global dan merupakan peneraju dalam sektor berkenaan,” katanya ketika berucap secara maya pada Majlis Pelancaran DRZ yang diadakan di Medini 9 di sini hari ini.

Turut hadir menyempurnakan majlis pelancaran itu secara maya, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Tambah beliau, berdasarkan Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2020 (GSER2020), Malaysia dalam kedudukan 10 negara menunjukkan Perkembangan Prestasi dalam Ekosistem serta dalam kedudukan 20 negara menunjukkan Perkembangan Prestasi dalam Tenaga Kerja Mahir dengan ekosistem yang dinilai berjumlah RM63.5 bilion.

“Malaysia turut mengekalkan kedudukan ke-35 daripada 129 negara dalam Indeks Inovasi Global 2019 selain turut merupakan antara negara ekonomi pertengahan yang menceburkan diri dalam bidang inovasi,” ujarnya lanjut.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Khairil Anwar Ahmad berkata, DRZ merupakan kesinambungan kepada program Iskandar Next yang dilancarkan pada Oktober lalu.

“DRZ yang bakal dibangunkan di Medini akan turut menempatkan Zon Percubaan Dron, pusat pembangunan dan reka bentuk, pusat pengembangan dan latihan bakat serta pusat pemasangan. – UTUSAN

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"