Selamat datang ke Portal Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, pintu masuk ke Daerah Manjung. Ia merupakan tingkap yang membuka pandangan anda terhadap perspektif luas tentang Daerah Manjung.

Melalui portal ini, saya berharap masyarakat dapat berinteraksi dengan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung serta mengenali pentadbiran dengan lebih dekat. Portal ini menghimpunkan pelbagai halaman terutama dari segi aspek sosio-ekonomi, pelancongan, pertanian dan perindustrian.
 
Adalah menjadi harapan saya masyarakat memperoleh maklumat berkaitan peranan dan tanggungjawab Pejabat Daerah dan Tanah Manjung. Masyarakat sebagai pengguna harusnya peka dengan pembangunan di daerah ini. Kesedaran sedemikian secara tidak langsung dapat membantu penduduk Daerah Manjung menikmati kemudahan pembangunan yang disediakan serta peluang-peluang yang boleh diambil dalam pembangunan sosio-ekonomi Daerah Manjung.
 
Daerah Manjung mempunyai keluasan kira-kira 1168.9 kilometer persegi dan merupakan daerah kedua terkecil di Negeri Perak selepas Daerah Kerian. Namun dari segi kepesatan kemajuan, daerah ini menduduki tempat ketiga di belakang Bandaraya Ipoh dan Daerah Larut Matang dan Selama. Kemajuan yang dicapai ini adalah hasil usaha gigih kerajaan dan sektor swasta di Daerah ini.
 
Ekonomi utama di Daerah Manjung adalah sektor pertanian, perkhidmatan dan perindustrian. Sektor kecil pelancongan adalah aktiviti yang terserlah di daerah ini dengan Pulau Pangkor dan kawasan di sekitar pekan Lumut merupakan destinasi pelancongan yang utama. Objek pelancongan yang utama di daerah ini ialah keindahan pantai, pulau dan alam semula jadi. Untuk mengalami dan menikmati kemudahan tersebut kunjungilah Daerah Manjung. Maklumat mengenai lokasi dan kemudahan pelancongan telah disediakan di dalam laman ini.
 
Daerah Manjung mempunyai potensi yang tinggi untuk terus berkembang maju dari segi fizikal di masa hadapan. Kemudahan infrastruktur seperti pembinaan Jambatan Raja Permaisuri Bainun memberi impak yang besar kepada kemajuan daerah ini dan ditambah lagi dengan projek besar yang dibangunkan oleh sektor swasta seperti Lekir Island Reclamation Project, TNB Power Plant, Segari Energy Venture serta projek-projek besar yang masih dalam perancangan iaitu Teluk Muruh Reclamation Project dan Marine City Resort Development Project yang akan menambahkan lagi kepesatan pembangunan Daerah ini.

ZULHISHAM BIN AHMAD SHUKORI
PEGAWAI DAERAH MANJUNG

Tags: PDT Manjung, Perutusan Pegawai Daerah

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"