Kosmo Online : 2 Nov : Kelapa MATAG atasi kekurangan bekalan

DI Malaysia, kelapa merupakan tanaman keempat terpenting selepas kelapa sawit, getah dan padi.

Keluasan tanaman kelapa berkurang setiap tahun daripada 105,659 hektar pada tahun 2010 kepada 87,550 (2014) dan dijangka terus menurun menjadi 77,555 hektar menjelang tahun 2020.

Penurunan kawasan penanaman kelapa itu berlaku disebabkan oleh penukaran kepada tanaman lain seperti sayur-sayuran, kontan dan dijadikan kawasan perumahan.

Jabatan Pertanian Malaysia melalui Program Pembangunan Kawasan Kelapa yang telah dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu giat menjalankan program penanaman semula kelapa, pemulihan dan integrasi dengan tanaman lain.

Ia bagi memenuhi keperluan kelapa yang terus meningkat saban hari.

Kini, program penanaman semula kian mendapat sambutan yang memberangsangkan hasil pengenalan pelbagai kelapa yang berkualiti tinggi iaitu kelapa MATAG.

Kelapa MATAG adalah sejenis kelapa hybrid yang dihasilkan melalui pendebungaan silang antara kelapa Malayan Red Dwarf (MRD) atau Malayan Yellow Dwarf (MYD) sebagai induk betina dengan kelapa Tagnanan Tall sebagai induk jantan.

Terdapat tiga jenis kelapa MATAG yang dihasilkan iaitu hijau, keemasan dan oren. Ia bergantung kepada jenis pokok induk betina dan jantan yang digunakan semasa pendebungaan.

Jenis itu mempunyai ciri-ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang robust dan vigorous di ladang.

Kelapa MATAG mula berbunga pada tahun ketiga dan buah itu boleh dituai selepas setahun iaitu pada tahun keempat.

Pokok kelapa MATAG boleh mencapai ketinggian 15 meter dan mempunyai jangka hayat selama 30 tahun.

Purata pengeluaran buah kelapa MATAG dianggarkan sebanyak 140 biji sepokok setahun. Potensi hasil dengan densiti penanaman 180 pokok sehektar ialah sebanyak 25,000 biji sehektar setahun. Bilangan buah setandan adalah antara 10 hingga 22 biji.

Anak benih

Di Semenanjung, pengeluaran anak benih kelapa MATAG dilaksanakan di dua buah Pusat Pertanian Jabatan Pertanian Malaysia iaitu Pusat Pertanian Pagoh, Johor dan Pusat Pertanian Lekir, Perak.

Jabatan Pertanian Sarawak dan Sabah juga mengeluarkan anak benih MATAG masing-masing di Pusat Penyelidikan Pertanian Tarat (Serian, Sarawak) dan Pusat Pengeluaran Benih Kelapa Menumbok serta Pusat Pertanian Kuala Penyu (Sabah).

Pengeluaran benih MATAG oleh pihak swasta hanya dilaksanakan oleh pihak syarikat United Plantation Berhad (UPB) di Teluk Intan dan National Land Finance Coperative Society (NLFCS) di Sungai Siput, Perak.

Dalam tempoh RMK-11 (2016-2020), permintaan tahunan untuk anak benih kelapa MATAG dianggarkan sebanyak 150,000 anak benih dengan keluasan yang boleh dibangunkan adalah seluas 833 hektar (180 pokok sehektar).

Pada tahun 2012, Jabatan Pertanian Malaysia telah membangunkan kawasan ladang pokok induk betina (MRD/MRD) seluas 69 hektar di Pusat Pertanian Lekir dan dijangka dapat mengeluarkan anak benih pada tahun 2017.

Dengan adanya kawasan baharu itu, permintaan pasaran untuk anak benih kelapa MATAG akan dapat dipenuhi dan pada tahun 2020 pengeluaran anak benih dianggarkan sebanyak 270,000 pokok.

Buat masa ini, anak benih MATAG hanya boleh didapati di Pusat Pertanian Pagoh dan Lekir dengan harga RM15 sepokok tetapi stok sedia ada adalah amat terhad.

Pihak swasta iaitu UPB dan NLFCS menjual anak benih kelapa MATAG dengan harga RM30 sepokok tetapi benih-benih yang dihasilkan itu akan dibekalkan ke Jabatan Pertanian Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk projek di negeri-negeri.

Bagaimanapun, pihak UPB tidak dapat membekalkan anak benih kelapa MATAG daripada tahun 2014 hingga 2016 kerana pihak UPB sendiri menggunakan anak benih itu untuk penanaman semula di estet mereka.

Negara-negara pengeluar utama kelapa seperti Filipina, India dan Indonesia hanya menggunakan jenis tempatan untuk penanaman semula kerana kos untuk mengeluarkan benih kelapa hybrid adalah tinggi.

Malaysia pula menggalakkan penggunaan jenis hybrid yang boleh memberikan hasil yang tinggi untuk kekal bersaing walaupun dalam keluasan kecil.

Oleh yang demikian, Jabatan Pertanian Malaysia akan terus memberikan tumpuan dalam mengeluar dan membangunkan tanaman kelapa jenis hybrid MATAG bagi mempergiatkan lagi industri kelapa negara.

sumber : Kosmo Online

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"