Perak Today : 16 Januari 2018 : KD Selangor Dipindahkan Ke TLDM Armada Timur


LUMUT: Kapal DiRaja (KD) Selangor yang berada di bawah Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), dekat sini secara rasminya diserahkan kepada Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, hari ini.

Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata perpindahan ini dilakukan berikutan dengan Program Transformasi ‘15 to 5’ yang dilancarkan tahun lalu.


“Perpindahan Skuadron Kapal Ronda Ke-17 ini adalah bagi menampung keperluan aset-aset TLDM di Armada Timur yang seperti diketahui umum, kawasan operasinya luas dan mencabar.

“Dengan kehadiran KD Selangor ini ia akan memberi nafas baru kepada Armada Timur. Dan selaras dengan misi kita yang mahu memperkukuhkan pertahanan perairan negara,” katanya.


Tambahnya, perpindahan kapal ini juga turut akan disertai 92 orang anak kapal, tidak termasuk pegawai dan laskar dalam latihan kapal.

“Penyerahan KD Selangor ini akan melibatkan 64 keluarga yang sama bakal menetap di Kota Kinabalu namun, ia akan mengambil sedikit masa dan dijangka akan disempurnakan pada Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sent Off KD Selangor di Pangkalan TLDM, dekat sini, pada Selasa.


Dalam pada itu, ujarnya, KD Kelantan yang kini sedang menjalani proses senggaraan turut akan dihantar ke Armada Timur pada Mac ini.

Majlis turut dihadiri Panglima Udara TLDM, merangkap Komander Pangkalan Lumut, Laksmana Pertama Datuk Pahlawan Alias Baharuddin serta Pegawai Memerintah KD Selangor, Komander Khairishahrizal Salehin.


Untuk rekod, kapal ini telah pernah menempa pelbagai kejayaan antaranya pernah memenangi Piala Gonzales bagi tahun 2013 dan 2015.

Pada 2015, KD Selangor berjaya memperolehi penarafan 5 bintang oleh Audit Pengurusan dan seterusnya berjaya memenangi Piala Panglima Tentera Laut pada 2016.


Selain itu, kapal ini juga pernah terlibat dalam operasi menyelamat MH370 pada 2014 dan Ops Sekat pada 2015, iaitu operasi menghalang kemasukan pelarian Rohingya beramai-ramai ke perairan Malaysia.

KD Selangor juga berjaya mencipta sejarah sebagai kapal pertama yang terlibat dalam program Trilateral Maritime Patrol (TMP) 2017, yang mana ia melibatkan penyertaan dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"