Perak Today : 16 Januari 2019 : Penyelewangan sebut harga : SPRM siasat 3 penjawat awam, seorang wanita

IPOH: Tiga penjawat awam serta seorang wanita telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan habuan dalam urusan Jawatankuasa Penilaian Sebutharga Majlis Daerah Kerian (MDK).

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan umur 31 hingga 59 tahun itu terlibat dengan penyelewengan pembekalan lima unit motosikal beroda tiga bagi tujuan kutipan sampah dengan harga RM16,500 seunit.

Jelasnya, hasil semakan SPRM mendapati anggaran harga sebenar, berdasarkan kepada harga pasaran adalah jauh lebih murah iaitu sekitar RM8,000 sahaja.

Selain itu katanya, penahanan seorang wanita yang merupakan daripada syarikat pembekal tersebut adalah selepas SPRM mengesyaki dia turut terlibat sama dalam aktiviti pemalsuan sebutharga.

“Kita percaya wujudnya sau pakatan dalam kalangan mereka untuk membuat perolehan melalui satu syarikat sahaja. Nama syarikat-syarikat lain yang disertakan hanyalah palsu.

“Ini kerana, jika mengikut tatacara perolehan ia mesti sekurang-kurangnya lima syarikat untuk disenaraikan dalam sesuatu sebutharga,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat SPRM Perak, di Meru Raya di sini, hari ini.

Tambah Zainul lagi, syarikat pembekal tersebut bukan syarikat yang beroperasi di Perak.

Ujarnya, kesemua penjawat awam Gred U32 dan Gred N19 termasuk wanita tersebut telah direman selama empat hari dan dibebaskan semalam di Mahkamah Majistret Ipoh, dengan jaminan.

Kesalahan yang dilakukan mereka pada tahun lalu itu telah disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Siasatan masih dijalankan. Ini baru hari ketiga kita menjalankan siasatan. Jika perlu memanggil lagi beberapa saksi, kita akan lakukan, mengikut keperluan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zainul turut mengingatkan supaya orang ramai khususnya pihak kontraktor tidak melakukan kesalahan yang sama.

Hal ini kerana katanya, ia bakal menyebabkan sebarang kos pelaksanaan itu meningkat serta memungkinkan kualiti sesuatu barangan yang diterima itu tidak berada pada tahap yang baik.

Tambahnya lagi, tindakan tersebut juga bakal menidakkan peluang kontraktor yang lain untuk membantu menjalankan satu-satu kerja.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"