Perak Today : 9 Januari 2018 : MB Perak Mahu Jabatan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan Terus Mantapkan Kerjasama


IPOH: Menteri Besar Perak meminta agar semua jabatan atau agensi daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk terus bekerjasama dengan baik, khususnya dalam memacu pembangunan negeri bagi tahun mendatang.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, walaupun jabatan kerajaan persekutuan tertakluk kepada peruntukan kuasa daripada Putrajaya namun, ia bukanlah alasan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan jabatan kerajaan negeri, dan begitulah juga sebaliknya.

Tanpa menyebut mana-mana jabatan, beliau mengambil contoh kejadian masalah lalat di beberapa kawasan di negeri ini yang penyelesaianya memakan masa dek kerana terdapat jabatan yang tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri.

“Sebagai contoh, kita nak selesaikan masalah lalat dan kita tahu (kebiasaanya) ia berpunca daripada ladang-ladang ayam yang dibina sama ada secara baik atau haram.


“Masalah ini membelenggu masyarakat seperti di kawasan Manjung, Tanjung Malim, Bidor dan Trong.

“Kita tak boleh ada jabatan yang kita sudah beri lesen (kuasa) namun, tak buat (tidak mahu selesaikannya), dan mereka mengatakan, sumber makanan itu lebih penting,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis  Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2018, di Pusat Kovensyen Ipoh, dekat sini, hari ini

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, barisan EXCO Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan dan kakitangan serta anggota penjawat awam.

Pada masa sama, Zambry menegaskan kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang sengaja membocorkan maklumat sulit kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perkara tersebut merupakan antara yang terkandung dalam 10 haluan yang mahu dicapai kerajaan negeri pada tahun ini.

Antara lainnya, meneruskan kesinambungan meneruskan pencapainan yang dicapai kerajaan negeri sebelum ini, komitemen dalam memberi khidmat kepada rakyat, memastikan kebersihan negeri terpelihara, ketepatan masa, kelestarian khazanah, menjadi warga negeri yang mementingkan kecergasan dan kesihatan serta sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran mendatang.


Cetak