Sinar Online : 3 Januari 2018 : Jangan sewenang-wenangnya guna 'direct translation'


IPOH - Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi ingatan agar sebarang  notis atau pengumuman terutama jika dibuat dalam bahasa Inggeris tidak sewajarnya diterjemah secara langsung atau  menggunakan kemudahan enjin terjemahan di Internet.

Beliau berkata, sebarang notis atau pengumuman perlu disemak dan diteliti terlebih dahulu bagi mengelak kesilapan, terutamanya bagi  tujuan penggunaan di peringkat antarabangsa.

“Jangan  memandai-mandai 'direct translation' atau 'google translation'," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak kubu perlindungan bawah tanah perang dunia kedua binaan tentera British dekat Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Sdn Berhad (LTSAS) di sini, hari ini.


Zambry mengulas insiden notis  berbahasa Inggeris di pintu masuk Pusat Penerangan Pelancongan Perak di sini minggu lalu yang tular kerana mengandungi banyak kesilapan.

​​Notis tersebut memberitahu orang ramai kawasan itu ditutup pada 30 dan 31 Disember lalu berikutan masalah talian Internet dan penyaman udara, namun hampir kesemua ayat menggunakan tatabahasa bahasa Inggeris yang kurang tepat.

Menjelas  lanjut, Zambry berkata, kesalahan penulisan notis tersebut perlu dijadikan pengajaran kepada semua kakitangan kerajaan khusunya di negeri itu seterusnya mengelakkan ia daripada berulang.

Beliau berkata, walaupun kesalahan itu dianggap kecil, namun ia bukan sahaja menjadi bahan jenaka malah mencerminkan ketidakseriusan dalam membuat arahan rasmi.

"Kepada  semua pihak peristiwa ini menjadi ingatan sama ada pihak atasan atau bawahan, bahawa urusan rasmi kerajaan pengumuman adalah dalam bahasa Malaysia,” tegas beliau. - Bernama

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"