Perak Today : 1 Februari 2018 : Bot Nelayan Ditahan, Tangkap Ikan Zon Larangan


LUMUT:Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana didapati melakukan aktiviti menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan.

Pengarah Maritim, Daerah Maritim 3 Lumut, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata turut ditahan seorang tekong dan dua awak-awak warga asing sekitar jam 5.40 petang semalam.

“Ketika ditahan oleh Kapal Maritim Tugau didapati bot tersebut telah telah melanggar syarat sah lesen iaitu menunda pukat kurang dari 12 batu nautika.

“Tekong serta dua awak-awak warga Thailand yang berumur antara 42 hingga 49 tahun di tahan ketika melakukan aktiviti penundaan kira -kira 5.5 batu nautika dari Barat Laut Pulau Pangkor,” katanya.

Berikutan itu, kes tersebut akan disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di zon larangan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Bot bersama tekong dan awak – awak kemudiannya diiringi balik ke jeti Kampong Baru dan tiba pada jam 9.00 malam semalam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Pihak APMM DM 3 Lumut katanya akan terus meningkatkan penguatkuasaan di perairan daerah ini, dan bertindak tegas kepada mana- mana bot yang melanggar peraturan bagi mencegah aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"