Perak Today : 16 Mac 2018 : NCIA Perkenalkan Penggunaan Motorsikal Elektrik Di Pulau Pangkor, Lestari Teknologi Hijau


PULAU PANGKOR:Penggunaan motorsikal elektrik merupakan antara usaha kerajaan negeri bagi melestarikan teknologi hijau sekaligus mampu mengurangkan pencemaran daripada penggunaan petrol di Pulau Pangkor.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pemberian motor elektrik itu merupakan usahasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama syarikat pengeluar motor elektrik tempatan Roda Prestasi Sdn Bhd (RPSB) melalui dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) sempena ‘Program Pangkor:Melestari Pengangkutan Hijau.

“Ini adalah percubaan bagi memperkenalkan kenderaan elektrik bagi mengurangkan pencemaran daripada penggunaan petrol di Pangkor. “Difahamkan ada beberapa tempat yang sudah diperkenalkan tapi dalam konteks penggunaan di Pulau Pangkor, kita cuba dulu promosikan.


“Sekiranya penggunaannya memudahkan untuk tujuan pengawasan dan pengurusan sehingga kita dapat satu keputusan baik ke arah penggunaan motor tanpa petrol ini untuk teknologi hijau di Pulau Pangkor,” katanya selepas majlis penyerahan motor elektrik kepada 10 penerima yang terdiri daripada usahawan perniagaan pelancongan di Pulau Pangkor.

Katanya, ia adalah satu percubaan bagi mengalakkan penduduk dan pengusaha pelancongan di Pangkor mempertimbangkan penggunaan motor elektrik kelak.

“Mana tahu satu hari nanti kita tidak akan gunakan petrol dan diesel di Pulau Pangkor. Kerana kalau mengikut kapasiti yang ada di sini dari segi keluasan Pulau Pangkor adalah 14 kilometer persegi.

“Malah jika kita lihat dari segi penggunaan jalan raya, mungkin orang hanya boleh bergerak sehari 10 hingga 20 kilometer tapi dari kapasiti bateri boleh guna sampai 75 kilometer sebelum mengecas semula motor itu ,”katanya.

Jelasnya, motorsikal elektrik yang diberi nama BOS 2000 juga mempunyai kelebihan untuk digunakan pada jalan yang berbukit malah dari segi kos penggunaan elektrik ini hanya 20 peratus daripada kos sebenar bagi pengunaan petrol dan diesel.

“Bagi satu bateri motor ini ia boleh digunakan tiga ke empat hari bergantung kepada kekerapan penggunaan motor ini dan bagi Pulau Pangkor yang bersaiz kecil adalah lebih baik,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pemberian motorsikal elektrik ini akan diperluaskan kepada kelompok yang lain supaya semua masyarakat di Pangkor dapat merasai faedahnya.

“Mungkin selepas ini kita boleh berikan kepada persatuan seperti persatuan khidmat masyarakat Cina dan juga India untuk menggunakannya,” katanya.

Sebanyak 30 unit motorsikal elektrik bakal diberikan untuk membantu pertumbuhan industri Teknologi Hijau di Pulau Pangkor bagi fasa kedua kelak.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan, Roda Prestasi Sdn Bhd, Ahmad Sabandi Othman, BOS 2000 adalah model Elektrik skuter yang boleh mencapai kelajuan 60km/jam dan mempunyai kekuatan mendaki berkecerunan 20 peratus.

“Penghasilan motorsikal ini merupakan kajian bersama dengan pihak Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan uniknya motorsikal ini mampu mengurangkan kadar penggunaan tenaga elektrik sebanyak 30 peratus berbanding skuter elektrik lain,” katanya.

Manakala Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata matlamat program ini adalah untuk memperkenalkan kenderaan berteknologi hijau negara selain memastikan pembagunan mampan bagi pemuliharaan alam sekitar untuk generasi akan datang.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"