Sinar Online : 26 Mac 2018 : Dua beradik terkunci dalam kereta


Anggota bomba berusaha membuka pintu kereta yang terkunci bagi menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak berkenaan.

SERI MANJUNG - Tindakan seorang bapa meninggalkan sekejap dua anaknya dalam kereta untuk membeli makanan di restoran makanan segera membawa kepada detik cemas apabila kereta berkenaan terkunci dari dalam, malam semalam.

Bapa berkenaan cuba membuka pintu kereta berkenaan dengan bantuan orang ramai, namun tidak berjaya sebelum bertindak menghubungi bomba.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Pegawai Bomba Kanan II Ismadi Darusman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu 10.25 malam sebelum sepasukan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian didapati ada seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan adik perempuannya berusia dua tahun di dalam kereta Toyota Altis.

“Dua beradik itu ditinggalkan sekejap oleh bapa mereka dalam keadaan enjin kereta masih hidup untuk membeli makanan sementara ibunya berada di hospital.

“Bapa mangsa juga turut berpesan kepada anak lelakinya supaya menunggu adik dalam kereta sementara dia membeli makanan,” katanya.

Katanya, namun begitu kanak-kanak lelaki itu tertidur  tidak berjaya dikejutkan walaupun pintu kereta diketuk.

“Pihak kami menggunakan peralatan khas untuk membuka tingkap kereta berkenaan dan pintu berjaya dibuka untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.

“Dua-dua mereka berada dalam keadaan selamat dan operasi tamat pada jam 11 malam,” katanya.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"