Sinar Harian : 30 April 2018 : Bandar baharu wujudkan banyak peluang

Pembangunan bandar baharu beri banyak peluang kepada penduduk di Ipoh.

IPOH - Kewujudan bandar baharu seperti bandar Meru Raya, di sini membuka pelbagai peluang dan ruang kepada penduduk setempat.

Melihat kepada kepadatan di bandaraya Ipoh terutama di Pekan Lama, kerajaan negeri mengambil peluang membangunkan kawasan baharu seperti di Meru Raya bagi mengurangkan kesesakan di sekitar kawasan pekan.

Siapa sangka kawasan yang dahulunya tidak dibangunkan tetapi kini menjadi tumpuan ramai dengan pelbagai kemudahan ibarat mini Putrajaya.

Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh, Sharul Baha Abd Rahman berkata, transformasi yang dibuat kerajaan negeri daripada bandar pencen kepada bandar yang pesat membangun dilihat berjaya.

Katanya, pembukaan bandar dan pekan baharu membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk. “Kita lihat sendiri peluang pekerjaan di Ipoh begitu banyak sama ada makan gaji mahupun bekerja sendiri.

“Kalau dulunya pekan Ipoh itu sunyi sepi, kini dengan perubahan yang dilakukan bandar Ipoh hidup pada waktu malam. Banyak kedai-kedai hipster yang dibuka,” katanya kepada Sinar Harian. Beliau berkata, bukan itu sahaja, apabila bandar Ipoh semakin terkenal dan sering dikunjungi pelancong, ramai anak muda bekerja sebagai pemandu Grab. Katanya, peluang itu diambil bagi menambah pendapatan sedia ada selain membantu merancakkan industri pelancongan di Ipoh.

Sharul berkata, bagi usahawan pula, mereka dapat mengembangkan lagi perniagaan apabila peluang terbuka luas. “Banyak pusat-pusat perniagaan dibuka di kawasan-kawasan strategik membolehkan usahawan bergerak lebih maju. “Tanpa perancangan jangka panjang Dr Zambry, mustahil Ipoh dapat berkembang maju seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, paling penting segala peluang yang ada perlu dimanfaatkan penduduk di bandar raya ini melalui persaingan sihat. Katanya, model kejayaan pembangunan di Ipoh ini juga harus dibawa ke kawasan lain agar lebih ramai mendapat manfaat.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"