Sinar Harian : 3 Mei 2018 : Mercun bola bernilai RM60,000 dirampas


Pasukan PPM Wilayah 1, Kampung Acheh menunjukkan mercun bola yang telah dirampas.

LUMUT - Taktik menyorokkan mercun bola di sebuah stor ternakan ayam di Batu 10, Segari terbongkar apabila pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Kampung Acheh, Sitiawan berjaya menghidu dan merampas mercun berkenaan.

Komander PPM Wilayah Satu (W1), Batu Uban, Pulau Pinang, Asisten Komisioner, Rosman Ismail berkata, serbuan itu kira-kira jam 9.45 pagi selepas melakukan intipan selama empat hari.

Menurutnya, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam dan segera menggerakkan anggotanya yang diketuai oleh Asisten Superintenden  Abu Bakar untuk membuat intipan namun tidak menjumpai sebarang kegiatan mencurigakan.

“Pasukan itu kemudian melakukan pemeriksaan di sebuah rumah ladang ternakan dan kemudian bertemu dengan seorang lelaki berusia 46 tahun.

“Pemeriksaan dibuat di sebuah stor dalam ladang kawasan ternakan bersama lelaki tersebut dan telah menjumpai kira-kira 40 kotak mengandungi bahan letupan disyaki mercun bola,” katanya dalam satu sidang media di Markas Operasi PPM Wilayah 1, Kampung Acheh, Sitiawan, semalam.

Beliau berkata, kesemua mercun bola sebanyak lebih kurang 120,000 biji itu bersama lelaki berkenaan dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah 1, Kampung Acheh, untuk siasatan lanjut.

“Daripada siasatan awal mendapati mercun bola itu dipercayai dibawa melalui jalan darat dari negara jiran iaitu Thailand berdasarkan kepada tulisan di bungkusan untuk pasaran tempatan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jun depan.

“Lelaki berkenaan akan ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan (ABL) 1975 kerana memiliki bahan letupan tanpa permit sah,” katanya.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"