Sinar Harian : 21 Mei 2018 : Apa portfolio exco baharu?

Sivanesan kembali semula di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas kali terakhir dilantik pada 2008

IPOH - Pelantikan Exco Kerajaan Negeri, kelmarin menjawab serba sedikit persoalan siapa yang terpilih mewakili parti masing-masing.

Di sebalik pelantikan itu, ramai masih menantikan portfolio yang masih belum diumumkan memandangkan barisan exco ditampilkan mempunyai kelebihan masing-masing.

Jika diamati, empat daripada 10 exco merupakan orang muda iaitu Adun Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How, 35; Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing, 36; Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, 38; dan Adun Pantai Remis, Wong May Ing, 39.

Daripada keempat-empat exco berusia di bawah 40 tahun itu, Howard Lee Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Perak dan Hasnul Zulkarnain pula Ketua Pemuda Harapan Perak sesuai diberikan portfolio berkaitan belia dan sukan memandangkan kedua-dua mereka pemimpin pemuda peringkat parti.

Sebagai satu-satunya exco wanita, May Ing dijangka akan dilantik memegang portfolio berkaitan pembangunan wanita, keluarga dan kebajikan manakala, Kar Hing pula berkemungkinan akan dilantik mengisi portfolio berkaitan sumber manusia, komunikasi dan multimedia.

Bagi portfolio pendidikan dan pembangunan modal insan pula, Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari dilihat sesuai memegang jawatan itu berdasarkan latar belakang beliau sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam pada itu, Adun Sungai Rapat yang juga bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mungkin akan memegang portfolio pelaburan dan industri berdasarkan pengalamannya mentadbir negeri ini ketika zaman Pakatan Rakyat.

Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong pula dikhabarkan akan memegang portfolio hal ehwal bukan Islam, kampung baharu dan kerajaan tempatan manakala Adun Sungkai, A Sivanesan pula bakal menerajui portfolio berkaitan alam sekitar, teknologi hijau, kesihatan dan masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari yang banyak membangkitkan isu nelayan pada setiap kali Sidang Dun dijangka memegang portfolio pertanian, perikanan dan pembangunan luar bandar.

Tidak dilupakan, Adun Manjoi, Asmuni Awi yang juga Pengerusi Amanah Perak mungkin akan memegang portfolio berkaitan agama Islam dan perpaduan kaum di negeri ini.

Berbeza ketika zaman Pakatan Rakyat, Adun-Adun yang dipilih sebagai exco kali ini lebih ramai dalam kalangan pemimpin muda dan merupakan muka baharu.

Hanya Mohammad Nizar dan Sivanesan sahaja yang berada di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri 2008 dipilih semula menganggotainya.

Sama ada secara kebetulan atau sebaliknya, exco-exco yang dipilih kali ini lebih menyeluruh meliputi Adun di kawasan bandar, semi bandar dan luar bandar malah dari segi geografi kawasan pula Adun yang berada di kawasan ‘Lembah Kinta’ mendominasi barisan exco kali ini.

Kawasan Dun yang berada di Lembah Kinta adalah Simpang Pulai, Pasir Pinji, Sungai Rapat, Tebing Tinggi, Tronoh dan Manjoi.

Dari segi daerah pula, hanya Kerian (Dun Titi Serong dan Dun Kuala Kurau),  Batang Padang (Dun Chenderiang dan Dun Sungkai), Manjung (Dun Pantai Remis) dan Kinta sahaja mempunyai wakil exco, manakala daerah selebihnya tidak mempunyai wakil di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Berbanding ketika kerajaan BN sebelum ini apabila hanya Daerah Kerian dan Daerah Kinta sahaja tidak mempunyai Adun di kawasan berkenaan yang dilantik sebagai exco.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"