Berita Harian : 22 Januari 2019 : Tekanan musim sejuk bantu hayati kehidupan pelarian

LEMBAH BEQAA (LUBNAN): Memulakan hari dalam situasi tanpa bekalan air dan elektrik dalam khemah pelarian yang didiami, menjadi rutin saya dan rakan sukarelawan Aman Palestin di Kem Al-Awdah di sini.

Melewati tempoh seminggu mendiami kem pelarian ini, pelbagai pengalaman ditempuh 15 sukarelawan demi menjayakan misi Bantuan Untuk Syria (BUS) kepada pelarian di sekitar Lembah Beqaa ini.

Mendepani suhu sejuk mencecah -6 pada waktu malam sejak tiba di sini pada 15 Januari lalu, saya mendiami khemah, yang keadaannya sama seperti milik pelarian Syria yang berlindung di Lembah Beqaa di ini.

Perbezaa dengan pelarian, hanyalah situasi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai mencapai 10 orang yang bersesak dalam binaan itu, berbanding kami berkongsi tiga orang sahaja.

Keadaan lain adalah sama. Di sini, saya bersama dua rakan mendiami khemah binaan kanvas atas tanah, manakala enam lagi sukarelawan lelaki mendiami kabin pelarian yang mempunyai ukuran hampir sama iaitu 200 kaki persegi.

Untuk tidur, kami dibekalkan katil lipat dan tilam nipis, berbanding keluarga pelarian yang meletakkan alas di lantai sebelum diletakkan tilam memenuhi ruang dalam khemah atau kabin setiap kali mahu tidur.

Dalam kesejukan yang mencengkam ini, kami perlu memastikan alat pemanas udara yang menggunakan minyak tanah sentiasa menyala untuk memanaskan suasana dalam khemah sepanjang malam.

Gangguan bekalan air sukar dijangka kerana boleh berlaku pada bila-bila masa, sementara bekalan elektrik pula hanya dinikmati selepas jam 5.30 petang ketika sebelum solat maghrib hinggalah jam 11 malam.

Semua sukarelawan memulakan hari dengan solat subuh berjemaah kira-kira jam 6 pagi di surau dalam kem bersama pelarian sebelum disusuli tazkirah oleh ketua misi, Anas Abdul Wahab.

Selepas bersarapan, biasanya hanya roti bersama salad, kami menanti bas datang mengambil atau berjalan kaki menuju kem pelarian tempat sesuatu tugas perlu dijalankan.

Sepanjang berada di luar khemah untuk sebarang aktiviti, kami perlu berpakaian tebal bagi mengelak kesejukan mencetuskan masalah kesihatan kerana perubahan suhu persekitaran boleh berlaku pada bila-bila masa terutama setiap kali bergerak ke Arsal yang terletak 90 kilometer di utara Lembah Beqaa.

Kesejukan membuatkan saya dan beberapa sukarelawan bersilih ganti mengalami pendarahan dalam hidung, selain ada rakan yang mengalami cirit-birit kerana tersilap makan.

Lebih malang seorang sukarelawan wanita mengalami kelecuran kecil bahagian tangan akibat tersentuh serombong asap pemanas udara dalam kabin ketika kami bertugas di Kem Yasamin malam kelmarin.

Laluan becak sekitar kem dan laluan menuju kem sekitar Lembah Beqaa ini adalah suatu yang lumrah perlu kami tempuh setiap kali keluar bertugas.

Kawasan Lembah Beqaa di sini yang dikelilingi banjaran gunung memang kelihatan cantik kerana kawasan puncaknya dilitupi salji, seolah-olah suatu destinasi percutian yang indah.

Namun, mengharungi kehidupan musim sejuk dalam keadaan serba kekurangan seperti yang sedang saya lalui bersama keluarga pelarian di sini, bukan sesuatu yang indah, kerana memberi tekanan sepanjang masa.

Biar apa pun cabaran perlu ditempuh, ia tidak sesekali mematahkan semangat semua sukarelawan Aman Palestin yang berada di Lembah Beqaa daripada meneruskan misi bantuan ini hingga selesai.

Sukarelawan dari Kemaman, Terengganu, Syahmiezan Sahrom, mengakui cabaran yang sedang dilalui ketika ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

"Suhu teramat sejuk. Kami yang berbaju tebal, masih terasa kesejukannya, sukar digambarkan bagaimana anak-anak kecil pelarian Syria menempuh situasi ini tanpa kelengkapan yang sempurna.

"Dalam kesejukan yang melampau ini, saya masih melihat ada anak-anak pelarian yang berada di luar rumah dengan memakai selipar dan berbaju nipis, " katanya yang sanggup kembali berkhidmat di kawasan kem pada masa depan demi membantu pelarian yang memerlukan.

Sukarelawan dari Sarawak, Mohd Farid Zainal Abidin, berkata pelbagai cabaran yang ditempuh setakat ini langsung tidak menggugat semangatnya di sini.

" Penempatan kami sering terganggu bekalan air dan tandas rosak, manakala elektrik yang terhad, membantu kami menghayati kehidupan dalam kehidupan pelarian yang tinggal dalam kem," katanya.

Sukarelawan dari Semenyih, Selangor, Mohd Rosdi Roslan, berkata melihat keadaan pelarian yang lumpuh mendoakan sukarelawan yang menziarahinya dalam khemah penempatan di Arsal, cukup menyentuh hatinya.

Sukarelawan dari Kota Damansara, Hazlin Pandak Abdul Hamid, berkata apa juga cabaran perlu ditempuh mereka ketika ini tidak menghalang kepada usaha memastikan semua sumbangan rakyat Malaysia menerusi Aman Palestin disampaikan sepenuhnya kepada yang berhak.

"Dalam kesejukan suhu di sini, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia terus menyumbang menjayakan misi bantuan musim sejuk, " katanya.

Seorang lagi sukarelawan dari Sabah, Nurmiati Mohd Darwis, turut menyerahkan sumbangan peribadi seorang penyumbang berupa selimut yang dikait sendiri kepada bagi pelarian Syria yang baru tiba dari Aleppo, malam kelmarin.

Orang ramai yang mahu menyumbang bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria boleh terus berbuat demikian menerusi akaun Maybank Aman Palestin 562263010787 atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi www.amanpalestin.net

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"