Perak Today : 29 Januari 2019 : MB Perak seru penjawat awam hayati kembali 6 teras tanggungjawab

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru semua penjawat awam agar kembali menghayati enam teras utama dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau, ketika menyampaikan amanat dalam Eksekutif Talk dan Perutusan Tahun Baru 2019 berkata penjawat awam perlu mempunyai komitmen untuk sentiasa mematuhi undang-undang serta memiliki kejujuran dan integriti.

“Pejawat awam perlu bertanggungjawab dalam setiap keputusan dan tindakan, penjawat awam mesti menumpahkan kesetiaan dan ketaatan terhadap ‘government of the day’ dengan melaksanakan segala dasar demi kebaikan dan kebajikan rakyat.

“Penjawat awam wajib mengutamakan kesaksamaan dan keadilan dalam membuat keputusan atau mengambil tindakan demi rakyat
dan penjawat awam adalah insan yang berdedikasi, mengekalkan profesionalisme dan tekun dalam berkhidmat demi rakyat,” katanya.
Tegasnya lagi, penjawat awam perlu sentiasa merendah diri tanpa mengira apa pun jawatan yang digalas

“Segala gaji dan keistimewaan itu sebenarnya datang bersekali dengan amanah dan tanggungjawab serta sifat-sifat
seorang penjawat awam.

“Apabila menyentuh soal amanah, jangan ada dalam kalangan kita yang bertindak bertentangan dengan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan, khususnya perkara-perkara yang melibatkan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Ujar Ahmad Faizal penjawat awam perlu memperbetulkan persepsi terhadap tugasan mereka adakah ia mengharapkan gaji semata-mata atau berniat berkhidmat kepada rakyat dan negeri untuk mendapatkan keberkatan dalam rezeki.

“Apabila kita keluar dari rumah pagi tadi, adakah kita berniat datang untuk bekerja atau berkhidmat? Mungkin ini perkara remeh, tapi dua perkataan ini membawa maksud yang amat berbeza.

“Mereka yang bekerja adalah mereka yang sekadar membuat tugasan keranamengharapkan gaji. Ini berbeza dengan mereka yang berniat berkhidmat kepada rakyat dan negeri untuk mendapatkan keberkatan dalam rezeki.

“Usah hanya bekerja semata-mata kerana kita ini terpaksa bekerja bagi mendapatkan gaji atau bekerja seperti kerbau yang semata-mata bekerja kerana dicucuk hidung. Bersama-sama, kita tambahkan nilai-nilai yang baik dalam pekerjaan itu,” katanya dihadapan sekitar lebih seribu penjawat awam di Hotel River Front hari ini.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"