Bernama : 1 Februari 2019 : Perak rancang pelancongan 'River Cruise' di Manjung

BERUAS, 1 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak sedang dalam perancangan untuk menyediakan bot pelancong ‘river cruise’ menyusuri Sungai Dinding bagi mengembangkan lagi industri pelancongan di daerah Manjung.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perancangan tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang berminat untuk melabur dalam industri tersebut.

"Kami mendapati (perkhidmatan) ‘river cruise’ ini amat sesuai untuk dibuat (menyusuri) di Sungai Dinding tapi dalam masa yang sama kerajaan negeri (berharap untuk) tidak mahu membelanjakan sejumlah wang yang besar, untuk sesuatu perkara yang bawa pulangan yang agak panjang.

“Justeru itu, kira akan berusaha mendapatkan kerjasama pihak swasta dan saya menyeru dan menjemput pihak swasta untuk ke depan berhubung dengan Pejabat Daerah atau kerajaan negeri untuk memajukan ‘river cruise’ bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Dataran Beruas dan menyerahkan geran hak milik tanah dan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada 38 individu sempena lawatan kerjanya ke daerah Manjung dekat sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong dan mengambil tahu segala pelan yang dirancang pihak pejabat daerah Manjung dalam merancakkan ekonomi setempat selain berupaya menjadi penjana ekonomi terbesar di Perak.

“Manjung merupakan daerah yang begitu luas dan mempunyai kawasan begitu sesuai untuk sektor tanaman dan industri pelancongan, semuanya dalam satu daerah.

“Saya akan sentiasa memberi sokongan dan berkerjasama dengan lebih rapat dengan pejabat daerah Manjung bagi memastikan segala perancangan dapat dicapai secepat mungkin dan saya yakin ia akan disambut baik masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata perkhidmatan itu akan diuruskan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dengan akan menyediakan pelbagai infrastruktur di lokasi-lokasi yang terlibat.

Katanya, perkhidmatan bot pelancong itu akan bermula dari Jeti Lumut Waterfront dan akan melibatkan empat hentian iaitu di Kampung Sitiawan, Kampung Bharu, Kampung Teluk dan Kampung Telaga Nenas sebelum berakhir di Kampung Beting Luas di Changkat Kruing.

“Kita merancang untuk membuat baik-pulih di setiap kampung yang terlibat bagi mencantikkan dan memastikan keselamatan pengunjung sentiasa diutamakan.

“Kita jangka perkhidmatan itu akan mengambil perjalanan selama satu jam sehala dan pengunjung boleh berhenti di setiap hentian untuk menikmati tarikan berlainan di setiap kampung seperti makanan kampung dan produk perikanan serta pemandangan paya bakau,” katanya.

-- BERNAMA

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"