Utusan Malaysia : 5 Februari 2019 : Lebih banyak lagi akan dipasang

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Bilangan sebenar kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Lebuh Raya Utara Selatan bukan 11 buah, sebaliknya lebih banyak lagi.

Menurut Ketua Pengarah Ins­titut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Siti Zaharah Ishak, sebanyak 11 buah kamera yang diumumkan hendak dipasang sebelum ini merupakan permohonan awal syarikat konsesi lebuh raya, Projek Lebuhraya Utara Selatan (Malaysia) Berhad (PLUS) kepada kementerian.

Kata beliau, permohonan itu dibuat selepas PLUS mengenal pasti beberapa kawasan yang kerap berlaku kemalangan hingga menyebabkan risiko kematian akibat memandu melebihi had laju.

“Memang wajar penambahan kamera AES sebab ada keperluan malah MIROS juga telah mendapat arahan daripada kementerian untuk mengenal pasti lokasi-lokasi berisiko kemalangan selain membuat penarafan terhadap jalan tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat MIROS, Kajang, dekat sini hari ini.

Siti Zaharah berkata, PLUS juga mengenal pasti Jambatan Pulau Pinang sebagai antara lokasi yang perlu dipasang ka­mera AES.

Jelas beliau, ia susulan daripada kes kemalangan sehingga menyebabkan sebuah kende­raan SUV terhumban ke laut dan pemandunya maut di Jambatan Pulau Pinang bulan lalu.

“MIROS dimaklumkan PLUS telah memanjangkan surat permohonan kepada kementerian dan seterusnya akan memanggil kami untuk bersama meneliti cadangan lokasi baharu mele­takkan kamera AES.

Mengulas lanjut, Siti Zaharah berkata, antara kawasan yang menjadi keutamaan MIROS untuk dikenal pasti adalah Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuh Raya Utara Selatan kerana memerlukan penambahbaikan jangka panjang.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"