Astro Awani : 13 Februari 2019 : Perak tambah baik dasar perumahan negeri

AHMAD FAIZAL: LPHP mengesan tindakan beberapa pemaju yang tidak jujur dalam mengendalikan penjualan rumah kos rendah dan kos sederhana.

IPOH: Kerajaan negeri Perak melakukan penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak (DPNP) selari dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan untuk membina 50,000 unit rumah mampu milik dalam masa lima tahun.

Langkah pertama yang dilakukan ialah dengan memperkasakan peranan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sebagai agensi yang mengendalikan semua pengurusan, perancangan dan pemantauan pembangunan sektor hartanah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri juga mendapati sistem kuota dan keistimewaan diskaun lima peratus harga rumah yang sepatutnya membantu meningkatkan pemilikan hartanah di kalangan bumiputera, tidak berjaya mencapai matlamatnya.

Malah, katanya, ia dikatakan menjadi punca lambakan rumah dalam pasaran, disebabkan faktor kemampuan ekonomi dan juga lokasi projek yang tidak sesuai.

“LPHP mengesan tindakan beberapa pemaju yang tidak jujur dalam mengendalikan penjualan rumah kos rendah dan kos sederhana, contohnya terdapat beberapa pemaju yang membangunkan perumahan kos rendah tetapi menjual hartanah berkenaan pada harga yang tidak ditetapkan oleh Jabatan Perumahan Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Terdapat juga kes di mana pemaju langsung tidak membangunkan komponen perumahan kos rendah. bagi menangani isu ini, proses dan kelulusan pelepasan komponen perumahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri akan diperketatkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas mengumumkan penambahbahbaikan itu di Bilik Gerakan Negeri di sini pada Rabu.

Ahmad Faizal memberitahu, penambahbaikan itu berkuatkuasa mulai 1 April 20019.

Antara lain, melalui penambahbaikan itu, kadar penalti pelepasan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana juga akan ditingkatkan dan hasilnya akan digunakan untuk membina lebih banyak rumah kos rendah.

Selain itu, kata beliau, bagi mengatasi isu pengurusan jualan unit kuota bumiputera, dasar pengurusan dan pelepasan kouta bumiputera akan diperkemaskan lagi.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"