Perak Today : 13 Februari 2019 : Penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri 2019

IPOH:Kerajaan negeri telah meluluskan cadangan bagi Penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak 2019 dan ianya akan mula berkuatkuasa pada 1 Apil ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah tersebut antara lain bertujuan menyelaraskan Dasar Perumahan Negeri dengan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018–2025.

Katanya, antara penambahbaikan yang dilaksanakan ialah menyelaraskan harga Rumah PerakKu berdasarkan lokasi bandar (Zon A) dan luar bandar (Zon B).

Rumah PerakKu Kos Rendah bagi Zon A akan dijual dengan harga RM90,000 ke bawah dan Zon B akan dijual dengan harga RM70,000 ke bawah.

Bagi Rumah PerakKu Kos Sederhana, untuk Zon A, ia akan dijual pada harga RM90,001 sehingga RM180,000 sementara Zon B, ia akan dijual dalam RM70,001 sehingga RM140,000.

Rumah PerakKu Mampu Milik pula, bagi Zon A, ia akan dijual pada harga RM180,001 sehingga Rm250,000 dan Zon B, akan dijual pada harga RM140,001 sehingga RM240,000.

Menurut Ahmad Faizal, semua pemaju yang ingin menjalankan pembangunan di Perak mesti mendaftar dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) terlebih dahulu.

“Pihak Jabatan Perumahan Negara juga perlu merujuk kepada LPHP sebelum sesuatu permit pengiklanan dan lesen pemajuan perumahan diluluskan kepada syarikat pemaju perumahan di Perak.

“Dengan ini Kerajaan Negeri, melalui LPHP dapat memantau pembangunan dan pematuhan dasar perumahan sesuatu projek perumahan yang dilaksanakan di negeri Perak,” katanya.

Dalam pada itu, Penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak 2019 juga turut melihat kepada usaha memperkemaskan lagi kuota milikan golongan Bumiputera.

Katanya, diskaun sebanyak lima peratus untuk harga rumah dan kuota 20 peratus untuk golongan Bumiputera bagi projek perumahan oleh pemaju swasta, masih dikekalkan.

Namun, proses penjualannya akan dipercepatkan daripada dua tahun kepada enam bulan, bagi mengelakkan lambakan rumah yang tidak terjual.

Jelasnya lagi, fokus utama adalah kepada projek perumahan mewah dan projek perumahan yang terletak di kawasan majoriti bukan melayu.

“Kalau boleh kita mahu tingkatkan kepada 20 atau 30 peratus, supaya kita dapat membantu lebih ramai kaum Bumiputera yang susah. Ini tanggungjawab kita membantu golongan berpendapatan rendah.

“Ia termasuk juga dengan kadar penalti dan pelepasan kuota Bumiputera yang disebutkan. Duit itu kita akan gunakan untuk membina lebih banyak rumah kos rendah,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi kuota Bumiputera bagi hartanah komersial telah diseragamkan kepada 20 peratus sahaja dan ia tertakluk kepada komposisi penduduk di sesebuah kawasan.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"