Perak Today : 1 Mac 2019 : Pengusaha bas ekspres minta segera luluskan permohonan buka kaunter di Kompleks Silveritage

IPOH: Lebih daripada 40 syarikat pengusaha bas ekspres di Terminal Bas Amanjaya, Meru Raya memohon supaya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dapat meluluskan segera permohonan menurun dan mengambil penumpang di Kompleks Silveritage Galleria Medan Gopeng dekat sini.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Agen Jualan Tiket Bas Ekspres Terminal Amanjaya, Mohd Tarmizi Mohd Yusuf berkata, pihaknya turut menyeru agar kerajaan negeri dapat campur tangan dalam urusan menyegerakan permohonan tersebut.

Ujarnya jika perkara tersebut tidak dilakukan, lebih daripada 200 kakitangan pekerja di 43 kaunter jualan tiket bas ekspres di Terminal Bas Amanjaya bakal kehilangan punca rezeki.

Jelasnya hal ini berikutan arahan pihak pengurusan terminal bas tersebut yang meminta kesemua mereka mengosongkan kaunter masing-masing sebelum 8 Mac minggu hadapan, bagi memberi laluan untuk melaksanakan Sistem Tiket Berpusat (CTS).

“Bagi mengatasi masalah ini, kami mencari jalan penyelesaian untuk membuka terminal bas ekspres di Medan Gopeng. Yang mana terminal bas di sini akan menjadi terminal bas selatan dan di Terminal Bas Amanjaya akan dijadikan terminal bas kawasan utara.

“Kami pun sudah mendapat kelulusan daripada syarikat MajuPerak Holdings Berhad (MHB), yang juga anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk kita beroperasi di Kompleks Silveritage ini.

“Kami memohon kerajaan negeri dapat meminta APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan meluluskan permohonan kami.

“Kami juga sudah berpakat untuk mengeluarkan modal sendiri bagi membina kaunter-kaunter tiket di sini. Anggaran modal sebanyak RM800,000,” katanya dalam satu sidang media di Kompleks Silveritage Galleria Medan Gopeng, dekat sini, hari ini.

Tambahnya Tarmizi, usaha sedemikian bukan seolah-olah mahu menutup ruang perniagaan di Terminal Bas Amanjaya sebaliknya ia sebagai langkah meneruskan kelangsungan hidup pekerja yang akan terjejas selain dapat memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang.

“Kami rasakan langkah ini tidak ada masalah kerana jika dilihat di Kuala Lumpur, mereka ada empat terminal bas. Cuma satu sahaja yang memakai sistem CTS, manakala yang lain masih mengekalkan sistem agen tiket kaunter bas yang dilantik syarikat bas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus dan Pengarah Cekap Ekspres Abu Hanifah Mohd Said yang sudah berada dalam perusahaan syarikat bas ekspres hampir 40 tahun mengakui sistem CTS banyak memberi kesan khususnya kepada keuntungan syarikat.

Beliau yang berpengalaman selama 14 tahun dengan sistem tersebut di Ibu Negara, berkata dengan pelaksanaan CTS, pendapatan syarikatnya merosot hampir 50 peratus.

“Jika ada wakil pekerja saya di kaunter seperti yang akan dibuka di Medan Gopeng ini, saya boleh letakkan sasaran kepada pekerja. Jika menggunakan sistem CTS, ia tidak ada sasaran jualan tiket dan syarikat akan rugi,” katanya.

Selain itu, Penasihat Pertubuhan Kebajikan Agen Jualan Tiket Bas Ekspres Terminal Amanjaya, Ahmad Marzuki Mansor berkata jika dalam tempoh sebulan tiada sebarang respons oleh kerajaan, pihak mereka tidak menolak akan mengadakan satu perhimpunan ke Putrajaya.

Katanya, perhimpunan tersebut berkemungkinan akan disertai para pengusaha bas yang menghadapi masalah sama seperti di Melaka dan di Sungai Petani, Kedah pada baru-baru ini.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"