Astro Awani : 13 Jun 2019 : "Hari ini saya nampak dia senyum" - Bapa Ainul

Demi kebaikan Ainul, mereka akan selesaikan semua perkara penting di London sebelum Ainul dibawa pulang ke tanah air - Foto Facebook/Ahmad Safiuddin

KUALA LUMPUR: Perkembangan terkini mengenai keadaan adik Ainul Mardhiah terus mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila kemaskini terbaru yang dikongsikan bapanya, Ahmad Safiuddin mula mendapat perhatian.

Menurut Safiuddin, keadaan Ainul semakin baik, dan jika esok bertambah baik, Ainul akan dipindahkan ke wad biasa.

"Hari ini saya nampak dia senyum."

Ketika ditanya berapa lama lagi tempoh diperlukan untuk Ainul menjalani rawatan di sana, Safiuddin memberitahu, tempohnya mungkin sebulan atau lebih.

"Mereka di sini mahu pantau Ainul dulu.
"Mereka mahu pastikan bahawa ketumbuhan itu tidak akan datang semula ( Semoga Allah jauhkan ).

"Jika mereka yakin yang Ainul bebas dari sebarang perkara yang tidak diingini ( berulang ), mungkin Ainul boleh balik," jelasnya menerusi kemaskini di Facebook.

Katanya lagi, sebagai penjaganya boleh sahaja minta Ainul segera dibawa pulang.

Tetapi, demi kebaikan Ainul, mereka akan selesaikan semua perkara penting di London sebelum Ainul dibawa pulang ke tanah air.

"Biarkan pakar buat kerja mereka, biar mereka putuskan bilakah masa sesuai untuk Ainul keluar dari hospital.

"Untuk masa terdekat ini, Ainul perlu dijaga dengan rapi, banyak perkara perlu diteliti selepas buat pembedahan.

"Selepas fasa ini selesai, berkemungkinan Ainul akan ada fasa 'belajar makan guna mulut ', " ujarnya lagi.

Pembedahan yang mengambil masa selama lima jam pada Isnin itu berjaya membuang keseluruhan 200 gram tumor di bahagian mulut Ainul.

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"