Berita Harian : 16 Julai 2019 : E-Taib jawab persoalan ibadah haji menerusi WhatsApp

Jemaah haji kini boleh mendapatkan jawapan kepada persoalan ibadah haji dengan pantas dan berkesan menerusi E-Taib.

MAKKAH: Jemaah haji kini boleh mendapatkan jawapan kepada persoalan ibadah haji dengan pantas dan berkesan menerusi e-Taib, platform pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp yang dilancarkan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata sebelum ini jemaah haji mengemukakan persoalan mengenai ibadah haji menggunakan Talian Ibadah Haji (Taib) menerusi panggilan telefon.

Beliau berkata menerusi aplikasi WhatsApp, persoalan dan jawapan boleh dibuat menggunakan teks, gambar, video atau mesej suara.

“Teks, gambar, video atau mesej suara memudahkan pembimbing memahami persoalan yang dikemukakan jemaah dan kemudian menghantar jawapan dengan menggunakan medium sama.

“Sekarang talian ibadah ini beroperasi 5 pagi hingga 12 tengah hari, bila sampai dua minggu sebelum dan selepas wukuf, kita akan operasikan e-Taib dan Taib ini 24 jam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan e-Taib di Ibu Pejabat TH Makkah di Abraj Janadriah di sini, hari ini.

Jemaah haji boleh menggunakan e-Taib menerusi telefon pintar mereka dengan melayari laman web https://wa.me/9660540840766 atau mengimbas kod QR untuk e-Taib di maktab penginapan TH.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu pada musim haji tahun ini dibantu 640 petugas TH.

Syed Saleh berkata melalui e-Taib juga, jemaah haji boleh menyimpan jawapan yang diberikan pembimbing haji untuk rujukan dan berkongsi bahan tersebut dengan rakan mereka yang mempunyai persoalan yang sama.

Beliau berkata e-Taib dikendalikan empat pembimbing haji yang bertugas dengan tiga pakar rujuk haji bagi membantu menjawab soalan yang lebih spesifik.

“Kerajaan Arab Saudi iktiraf program bimbingan jemaah haji kita adalah yang terbaik. Diharapkan jemaah haji Malaysia dapat ambil manfaat sepenuhnya e-Taib dan Taib ini supaya mereka menjalankan ibadah dengan sempurna dan yakin,” katanya. – BERNAMA

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"